Penyanyi rap baharu, Farhan Alias atau nama pentasnya Fhan, percaya setiap penyanyi mempunyai potensi bakat tersendiri.
Menurutnya, pemain industri hendaklah memberikan sepenuh kepercayaan seterusnya peluang untuk penyanyi baru bagi mengasah bakat mereka.
“Secara peribadinya untuk saya bekerjasama dengan komposer atau pun penulis lirik terkenal, yang penting mereka percaya pada potensi seseorang penyanyi berkenaan. Bukan memandang rendah terhadap pengalaman kita. Saya sangat sensitif dalam bab ini.
“Kalau mereka rasa saya tiada potensi, mungkin lupakan saja niat untuk bekerjasama. Saya percaya setiap manusia ada kelebihan masing-masing,” jelasnya.
Mengulas mengenai strategi pemasaran dengan menyasarkan karyanya mampu menembusi pasaran antarabangsa, dia memilih untuk mengeluarkan lagu dwi-bahasa berjudul Walkaway dan Nitro sebagai langkah untuk menarik pendengar luar Malaysia.
“Proses awal untuk bekerjasama dengan penyanyi luar negara ini, saya mahu fokus trendingkan terlebih dahulu lagu sedia ada. Bila mana sudah ada peminat dan pendengar dari negara serantau, saya percaya penyanyi di sana pasti menyedari kewujudan saya.
“Disebabkan itulah saya mengeluarkan dua single terbaharu dwi-bahasa Inggeris dan penuh supaya dapat capai sasaran ‘crowd’ dari luar negara,” kongsinya yang menyasarkan pasaran Indonesia, Singapura dan Filipina terlebih dulu.
Lagu Walk Away merupakan hasil ciptaan komposer Mingaling, Madebyartin, Imgkay dan penulis lirik oleh Amir Hasan.
Menyentuh mengenai populariti sebagai penyanyi rap baharu, Fhan lebih ambil peduli mengenai sisi penyampaian mesej lagu.
“Bagi saya itu tidak menjadi masalah sebab yang penting dapat sampaikan mesej lagu tersebut kepada semua pendengar. Dua single terbaharu berkenaan berkisarkan perjalanan dan liku-liku seseorang dalam industri atau pun bisnes yang saya ceburi.
“Selain itu saya selitkan pelbagai cabaran dan ragam manusia yang pernah saya jumpa. Konklusinya biar kita sendiri berjuang untuk sampai ke puncak,” ujarnya.
Menyedari pasaran muzik tempatan pendengarnya lebih gemarkan lagu-lagu patah hati, Fhan akan mempertimbangkan untuk menerokai genre tersebut pada masa depan.
“Ya saya sangat berminat sebab saya rasa itu adalah genre yang senang untuk pendengar ikuti atau layan. Sejujurnya lagu saya pun ada patah hati iaitu Walk Away,” katanya lagi.
Sebagai informasi, Fhan mulai aktif dalam dunia muzik sejak tahun lalu dengan kemunculan dua single berjudul Terbang Tinggi dan Bertahan serta Terang dalam pertengahan tahun ini.
Foto kredit: Fhan