Penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza, berharap Sissy Imann untuk tidak berputus asa meski menerima kritikan keras daripada salah seorang juri Famili Duo, Mas Idayu.
Menurut Siti, sebaiknya Sissy berlapang dada seterusnya lebih terbuka sepanjang berkarya dalam dunia seni.
“Sissy jangan putus asa kerana dalam industri seni ini, itulah sepak terajang yang perlu dihadapi. Apalagi bila terbabit dalam satu pertandingan yang membenarkan diri kita dikritik dan ditegur walau ada ketika apa yang dikomenkan itu itu pedih di hati.
“Kita sepatutnya sedia maklum yang juri kaedah penjurian dan cara masing-masing dalam menegur. Malah saya percaya waktu itu dia macam terkejut dan tak sangka.
“Insya-Allah, rasa jauh hati dan sakit hati itu akan berlalu dengan sendiri,” katanya ketika ditemui pada Sidang Media Konsert Malam Bulan Bintang di Boathouse Ampang, pada Rabu.
Konsert Malam Bulan Bintang yang bakal berlangsung pada 4 Mac 2023 di Stadium Axiata Arena Bukit Jalil, itu turut menampilkan beberapa artis bernama besar antaranya Datuk M Nasir, Sabyan dan Faizal Tahir.
Dalam pada itu, Siti turut menasihatkan adik-beradiknya, Siti Saida dan Siti Sairah yang turut bertanding dalam program berkenaan supaya sentiasa bersedia dengan kritikan juri.
“Saya pun awal-awal lagi sudah mengingatkan mereka supaya bersedia dan bertabah hati apabila menerima komen para juri.
“Juri akan menegur dan pada masa sama netizen juga akan bercakap. Jadi rilak sahaja. Janji kita usaha untuk perbaiki kelemahan dalam persembahan kita. Itu yang saya pesan,” katanya lagi.
Terdahulu, kritikan Mas Idayu pada minggu keenam program realiti berkenaan telah menjadi bualan apabila Sissy Imann sebak dan menangis selepas menerima kritikan pedas juri tersebut.
Sissy turut tidak muncul pada segmen terakhir program sekaligus mencetuskan spekulasi peminat.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara, jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.