Anak kepada pelakon Emma Maembong, Shariq Gabriel kini berada di dalam jagaan kakak sulungnya, Coddy Maembong sepanjang dia dan suami, Shazli Azhar menjalani tempoh kuarantin selepas disahkan positif Covid-19, baru-baru ini.
Bagaimanapun, anak lelaki mereka yang kini mencecah usia kira-kira tiga bulan bebas daripada wabak berkenaan.
Menerusi satu hantaran di Instagram Coddy, kakak kepada pelakon Cemburu Seorang Perempuan itu memaklumkan bayi tersebut dalam keadaan baik.
“Be strong my sister @emma_maembongofficial. Everything will be ok, jangan pikir sangat pasal baby gabriel.
“Dont worry i will take care of him, he is in good hand. I know u and shazli miss him so much, please focus on your recovery.
“Jangan risau baby gabriel seronok je duk gan maklong dan paklong @beby_maembong pun hampir setiap hari dtg hantar susu,” tulis Coddy sambil berkongsi foto dan video terkini si kecil.
Sementara itu menerusi Instagram Story, Emma turut berterima kasih buat kakaknya kerana menjaga permata hatinya itu dengan baik.
“Thank you Coddy Maembong, jaga my baby elok-elok,” pesan Emma.
Terdahulu menerusi satu entri lain di platform sama, Emma sudah pun menzahirkan rasa rindu buat anak pertamanya itu.
“Miss you baby @shariqgabriel. Allah knows how much mommy misses you right now,” tulisnya.
Meski disahkan positif, namun Emma atau nama sebenarnya Fatimah Rohani Ismail, 29, dalam ruangan kapsyen di platform sama menjelaskan dia tidak menunjukkan sebarang gejala.
“Saya selesai jalani ujian swab di rumah. Saya tak ada sebarang gejala, tapi keputusan ujian saya adalah positif.
“Jadi, walaupun rasa sihat, saja buat ‘swab test’ sebab kita tak tahu kalau kita ada (Covid-19) atau tak,” tulisnya.