Berita

“Jangan Sampai ‘Melacurkan’ Budaya Kita,” – Pesan Pereka Fesyen Jonathan & Farel Mikhail

Share

Pereka fesyen, Jonathan dan Farel Mikhail yang juga penganjur acara menerusi FM Group optimis membuka peluang kepada pereka muda untuk menonjolkan rekaan mereka di International Cultural Fashion Week (ICFW) pada 2 hingga 4 Ogos ini di Tun Razak Exchange (TRX), Kuala Lumpur.

ICFW merupakan salah satu program bawah acara Precious Of Malaysia kini memasuki tahun ketiga penganjurannya.

Duo berkenaan bagaimanpun mengingatkan kepada para pereka fesyen tahu batas dalam berkarya meski percaya ruang kreativiti itu begitu luas skopnya.

“Kami sedar dan tahu, ramai sebenarnya pereka muda di luar sana yang berbakat besar dan mempunyai idea di luar kotak serta sangat kreatif.

“Jadi, inilah peluang untuk mereka menonjolkan potensi yang ada demi mengejar cita-cita sebagai pereka fesyen terkenal suatu hari nanti.

“Apa pun, kreativiti dan relevan mengikut trend itu bagus. Cuma nasihat saya janganlah sampai

‘melacurkan’ budaya kita menerusi persalinan busana yang anda reka.

“Maksud melacurkan budaya itu adalah mereka cipta busana yang boleh mendatangkan persepsi negatif kepada yang melihatnya.

“Macam contoh, ada yang mereka baju Melayu yang jarang fabrik kainnya, guna tanjak untuk menutup bahagian dada pada baju seksi dan sebagainya.

“Mungkin ia tampak kreatif bagi sesetengah orang tapi, tapi perkara itu juga seolah-olah ‘mencemarkan’ identiti budaya Melayu,” kata mereka.

Jonathan dan Farel Mikhail turut berpendapat, adalah lebih baik sekiranya golongan berkenaan menghormati norma budaya di negara ini.

“Apabila rekaan sebegini dibawa ke pentas peragaan ia seolah-olah mempersendakan budaya itu sendiri. Orang yang melihat pun sudah tidak kenal asal usul busana yang diperagakan.

“Ada kemungkinan, wujudnya situasi ini disebabkan kurang cakna mereka mengenai adat istiadat budaya tertentu. Jadi perlu untuk para pereka fesyen agar memahami sekali gus menghormati identiti pakaian berunsurkan sesuatu kaum yang dihasilkan.

“Ini kerana budaya kita ada nilai estetika sendiri, kena ikut resmi itu. Kena tahu asal usul setiap budaya, jangan terlalu ‘overdo’ yang secara tak langsung boleh rosakkan budaya,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Pertandingan rekaan fesyen ICFW (International Cultural Fashion Week) yang juga merupakan salah satu program bawah Precious Of Malaysia ini menjadi platform terbaik buat pereka muda.

Pihaknya menganjurkan pertandingan ini sebagai medium khusus kepada pereka fesyen baharu atau sedang mencipta nama.

“Ini masanya untuk mereka membuktikan bakat atau kebolehan mereka. Ada sesetengah pelajar lepasan jurusan fesyen, mereka tiada tempat untuk memperlihatkan karya mereka dan terus melebarkan sayap dalam bidang fesyen,” katanya.

Lebih istimewa, pengajurantahun ini bakal menyaksikan kelainan ICFW berbanding tahun-tahun sebelum ini.

“Sebelum ini, dua tahun berturut-turut kami libatkan pereka fesyen tempatan sahaja. Jadi kali ini, kami terbuka untuk menerima penyertaan dari negara-negara serantau iaitu Indonesia, Filipina, Thailand dan India.

“Menerusi pertandingan ini, kita dapat lihat pelbagai budaya yang dibawakan menerusi fesyen dari Malaysia dan negara luar.

“Untuk Malaysia, kami nak ketengahkan elemen Malaysia seperti batik, songket tenun atau pun apa-apa tradisi. Dalam masa yang sama, rekaan kontemporari atau gabungan tradisional dan moden pun dibenarkan.

“Pertandingan yang berkonsepkan tradisional kali ini agak mencabar kerana melibatkan pereka fesyen dalam dan luar negara,” katanya.

Pertandingan ini melibatkan melibatkan 10 kategori iaitu Best Collection, ASIAN Emerging

Fashion Designer, Most Talented Fashion Designer, Up Coming Fashion Designer dan Promising Fashion Designer.

Turut dipertandingankan ialah Best Showcase, Best Cultural Inspiration, Up Lifting Traditional Design, Excellent Fashion Designer dan Best Model Catwalk.

Selain ICFW, Precious Of Malaysia juga akan menganjurkan Hari Tanjak Malaysia bersempena bulan kemerdekaan Ogos ini dan Hari Malaysia pada 16 September 2024.

Hari Tanjak Malaysia yang akan diadakan pada 10 Ogos ini di Pavilion Damansara heights mensasarkan 1000 orang hadir memakai tanjak pada hari tersebut.

Sempena acara ini, turut dianjurkan pameran dan booth istimewa bermula 5 hingga 11 Ogos depan. 

Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini

Published by
MH