Satu momen memalukan dalam sejarah Anugerah Academy 2022 atau lebih popular digelar Oscars apabila Will Smith tiba-tiba bangun dari tempat duduknya dan meluru ke atas pentas untuk melempang pengacara acara tersebut, Chris Rock.
Semuanya gara-gara pengacara tersebut yang membuat lawak tentang keadaan Jada Pinkett yang tampil botak. Dia berkata, “Jada saya sayangkan kamu. Tak sabar nak tunggu G.I Jane 2,” ujarnya.
Insiden tersebut merupakan satu momen yang tidak terjangka kerana pada mulanya Will dilihat ketawa apabila pengacara yang merupakan pelawak itu berjenaka tentang rambut Jada.
Selepas dilempang, Chris yang kelihatan malu dan terkejut menyambung lagi skripnya, “Wow! Will Smith baru sahaja melempang muka saya. Ini adalah momen terbaik dalam sejarah televisyen.”
Namun respon itu tidak diterima baik oleh Will Smith apabila pelakon tersebut menjerit dengan kuat dari tempat duduknya dan berkata dengan nada marah, “Jangan sebut nama isteri saya.”
Dapat dilihat dari raut wajahnya, dia sangat marah dan hampir menitikkan air mata. Will kemudiannya memenangi kategori pelakon lelaki terbaik anugerah Oscars 2022 menerusi lakonannya dalam filem King Richard.
Umum mengetahui yang pelakon ini tidak gemar jika isteri atau anak-anaknya dibuat perkara mainan. Jada yang mencukur rambutnya botak bukanlah disebabkan fesyen namun kerana dia menghidap Alopecia yang menyebabkan kehilangan rambut teruk.
++Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan