“Jangan Sesekali Terfikir Atau Terdetik Di Hati Yang Susu…,” – Sari Yanti Kongsi Pengalaman Menyusukan Anak

Share

Pelakon, Sari Yanti yang kini bahagia membesarkan anak bongsunya, Dariya Inara yang dilahirkan pada 25 April tahun lalu mengakui, dia lebih selesa untuk menyusu badan.

Meski ia bukanlah pengalaman pertama dalam menyusukan anak, Sari Yanti seperti yang dipetik menerusi Mingguan Wanita bagaimanapun memberitahu, tugas menyusukan anak bukanlah sesuatu yang mudah.

Apatah lagi, ia demi memastikan anak kekal sihat.

“Tidak dinafikan terdapat lambakan suplemen untuk kaum ibu tambah susu badan di luar sana. Tetapi saya memang tidak mengambil sebarang suplemen.

“Paling penting bagi ibu yang menyusukan anak seperti saya sendiri, sentiasa berfikiran positif kerana menyusukan anak bukan perkara yang senang,” katanya.

Ujarnya lagi, proses menyusukan anak akan kian sukar apabila anak bayi semakin membesar.

“Lebih-lebih lagi apabila bayi makin membesar, proses menyusu badan menjadi lebih susah. Jangan sesekali terfikir atau terdetik di hati yang susu tak cukup nanti kesudahannya susu memang akan kurang. Percayalah permintaan susu akan ada bila ada penawaran. Jadi jangan bimbang susu tidak cukup,”jelasnya lagi.

Terdahulu, Sari Yanti mendirikan rumah tangga dengan Jep Sepah 25 Februari 2017. Sementara menerusi perkahwinan terdahulu, dia dikurniakan dua cahaya mata lelaki iaitu Barr Al Aliy dan Baasit Al Haq.

Foto: Mingguan Wanita, Instagram Sari Yanti

Published by
MH