“Janganlah Kita Tidak Memandang Terus Mereka,” – Biar Sering Sarung Busana Label Antarabangsa, Neelofa Tetap Pakai & Hormati Pereka Kita

Share

Meskipun sering menjalin kerjasama dengan pelbagai jenama fesyen antarabangsa, Neelofa, 31, masih mengekalkan hubungan baik dengan pereka fesyen tempatan.

Malah pemilik nama Noor Neelofa Mohd Noor ini masih mengingati momen awal ketika dia mula menceburkan diri dalam dunia hiburan hampir sedekad lalu.

“Hampir 10 tahun saya dalam industri. Saya bermula dengan diri sendiri yang yang mengetuk pintu butik pereka fesyen tempatan, meminjam busana, buat ‘follow up’, hantar balik sehinggalah zaman sekarang kita mempunyai penata gaya sendiri.

“Mereka pula yang mengambil tanggungjawab tersebut. Jadi, hubungan dan kerjasama kita dengan pereka tempatan sudah lama berlaku.

“Secara tidak langsung, kita memahami daripada mana mereka datang, usaha mereka dalam keinginan untuk meletakkan jemana masing-masing di tahap tersendiri,” katanya.

Bintang asal Kelantan ini ditemui pada majlis pengumumannya sebagai duta rantau Asia Tenggara yang pertama untuk jenama kecantikan antarabangsa Lancome di One Utama, Petaling Jaya, baru-baru ini.

Memahami usaha pereka fesyen tempatan dalam menaikkan jenama mereka, Neelofa menghormati dan tidak memandang rendah dengan segala inisiatif yang telah dilakukan.

“Malah ada di antara majlis antarabangasa, saya kenakan persalinan daripada pereka tempatan juga. Bezanya kalau jenama antarabangsa, ia hanya ‘sample model’ sahaja yang mana ia tidak boleh diubah-ubah.

“Akan tetapi jika mengenakan busana pereka tempatan, kita boleh sesuaikan baju yang nak dipakai bergantung dengan majlis apa yang ingin dihadiri.

“Jadi janganlah kita tidak memandang terus mereka… Setiap majlis konsepnya berbeza-beza. Usah pandang rendah atau abaikan kerana kita tidak tahu bila kita perlukan khidmat mereka,” katanya.

Neelofa berkata demikian selepas ditanya mengenai pendedahan pereka fesyen terkenal tempatan, Rico Rinaldi yang terkilan dengan sikap seorang pelakon yang dikatakan menolak pelawaan untuk menjadi wajah rasmi sempena kempen Hari Raya Aidilfitri 2021.

Dedah Rico, pelakon wanita terbabit menolak pelawaannya dengan angkuh dan menegaskan hanya mengambil tawaran untuk jenama antarabangsa sahaja.

Sebelum ini, Neelofa pernah menjadi wajah bagi koleksi Rico Rinaldi Summeraya 2018.

Published by
Rafiq Mazlan