Pelakon, Ruhainies berkongsi potongan video di Instagram Stories yang memaparkan isi ceramah daripada pendakwah terkenal, Ustaz Ahmad Rizam, pada Ahad.
Menerusi ceramah tersebut, Ustaz Ahmad Rizam antara lain memaklumkan setiap amalan manusia itu akan menjadi sia-sia sekiranya kita bercakap buruk dan menyebarkan aib orang lain walaupun hanya sekali.
“Nabi bagitahu kita, sekali sahaja engkau buka aib orang lain, seluruh amal soleh kita daripada akil baligh ini hilang. Tiada lagi pada suratan amal kita di sebelah kanan,” katanya.
Kongsinya lagi, azab neraka bakal menanti seperti kita tidak pernah melakukan amal soleh ketika di dunia.
“Esok, tatkala kita menemui Allah, kita memandang suratan amal yang kanan dan bertanya, Ya Allah, mana sembahyang kami? Mana puasa kami? Mana sedekah Jumaat kami? Mana umrah kami?
“Kau sampai nak mati tapi tak nak bertaubat. Berhenti kata mengenai orang. Mana ada lagi amal soleh engkau.
“Kita ini tak kuat sebenar masuk neraka tapi kita berlagak macam orang kuat nak masuk neraka,” ujarnya lagi.
Perkongsian tersebut nyata memberikan kesan dan pelakon itu turut berharap agar hatinya sentiasa dipelihara daripada sifat membuka aib orang lain.
Pada masa sama, pelakon drama Terjerat ini juga mengakui dirinya tidak sempurna dan mempunyai banyak khilaf.
“Saya tidak sempurna dan tiada seorang pun yang sempurna. Namun Allah, peliharalah hatiku untuk tidak membuka aib sesiapa.
“Janganlah segala amalku sia-sia,” pintanya.
Terdahulu, Ruhainies juga kerap berkongsi mutiara kata atau petikan Islamik di media sosial sebagai peringatan buat diri sendiri dan pengikutnya.
Sebelum ini, Ruhainies teruk dikecam netizen selepas didakwa menjadi punca kepada penceraian pasangan selebriti Aliff Azizi dan Bella Astillah.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.