Kematian Sinead O’Connor pada 26 Julai 2023 mengejutkan peminat muzik seluruh dunia. Mengimbas kembali detik pemergiannya, penyanyi yang terkenal dengan lagu Nothing Compares 2 U ini dijumpai tidak sedarkan diri di kediamannya yang terletak di Herne Hill, London Selatan.
13 hari sejak kematiannya, Sinead akhirnya disemadikan setelah autopsi dijalankan pihak berkuasa. Jasadnya telah dikebumikan di kampung halamannya di Ireland sebagai seorang Muslim bagi menghormati dirinya yang telah memeluk agama Islam sejak 2018.
Sebagai bintang terkenal, ribuan peminat berkumpul berhampiran rumahnya untuk memberi penghormatan terakhir manakala selebihnya membarisi laluan perjalanan ke tanah perkuburan ketika ia melalui pinggir laut di Bray, 20-kilometer selatan Dublin yang menjadi tempat tinggalnya selama 15 tahun.
Jasad Sinead disemadikan di tanah perkuburan Deansgrave yang mana kuburnya di kelilingi oleh kubur Katolik. Perarakan pengebumian tersebut diketuai oleh ulama Islam dan imam terkemuka Ireland, Shaykh Dr Umar Al-Qadri dan turut dihadiri oleh Perdana Menteri dan Presiden Ireland.
ARTIKEL BERKAITAN: Penyanyi Terkenal, Sinead O’Connor Meninggal Dunia
Menerusi laman Twitter, Shaykh Dr Umar Al-Qadri yang mengenali Sinead sejak tahun 2018 berkata, “Hari ini, saya amat bersyukur kerana diberi peluang untuk memimpin solat jenazah Muslim untuk Sinéad O’Connor atau juga dikenali sebagai Shuhada Sadaqat.
“Ia adalah satu penghormatan untuk menjadi sebahagian daripada majlis ini, dan saya merakamkan penghargaan setinggi-tingginya kepada keluarga Sinead kerana mengiktiraf dan menerima identiti Islamnya.”
Menerusi gambar yang dikongsikan media tempatan Ireland, kubur Sinead ditandakan dengan batu nisan lengkap nama serta tarikh lahir dan matinya. Bunga-bunga dalam rona pastel memenuhi ruang kubur.
++Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan