Jasmine Suraya Ikuti Kelas Tahfiz, Jujur Rasa Satu Perjalanan Indah; “Saya Belajar Secara Berperingkat.”

Share

Pelakon Jasmine Suraya memilih untuk terus fokus kepada hal yang lebih penting dalam hidup berbanding terlalu memikirkan mengenai kisah hangat melibat dirinya di media sosial.

Jasmine Suraya Chin, 33, bagaimanapun mengakui ada ketika komen yang dilontarkan segelintir netizen agak keterlaluan.

“Bagi saya ia sesuatu yang tidak boleh disekat apabila ia melibatkan media sosial. Akan tetapi saya tidak nafikan ada ketika rasa kurang selesa bila sesetengah perkara yang saya lakukan itu menerima kritikan.

“Malah kritikan yang diberikan itu dahsyat kadang-kadang. Seolah-olah ia menjurus kepada serangan peribadi. Misalnya orang mengkritik mengenai pemakaian atau mempertikaikan soal agama serta budaya. Niat kita mungkin berbeza, akan tetapi orang salah erti, begitulah.

“Akan tetapi saya rasa ramai yang terbuka mengenainya cuma saya tidak mahu mengulas panjang kerana ia hal yang sensitif. Sebab itulah saya memilih untuk tidak berkongsi terlalu banyak,” katanya kepada MH.

Jasmine berkata demikian ketika ditemui di Festival Filem Malaysia ke-32 (FFM32) yang berlangsung di Encore, Melaka, pada Jumaat.

Artikel Berkaitan;

“Dia Juga Ialah Orang Terakhir Yang Meninggalkan Majlis,” – Neelofa Ulas Keberadaan Jasmine Suraya Di Majlis Ilmu

“Ini Boleh Dikatakan Sebuah Perjalanan Yang Cukup Peribadi Untuk Saya,” – Jasmine Suraya

“Ramai Kata Yang I Look Like Eugene Dalam Penthouse,” – Sama Ke Tanya Jasmine Suraya

Dalam pada itu, Jasmine yang sebelum ini mencuri tumpuan susulan keberadaannya di majlis ilmu anjuran Neelofa menjelaskan dia juga ada mengikuti kelas tahfiz.

“Ketika saya menghadiri majlis anjuran sebelum ini, saya pakai pelitup muka kerana kalau boleh tak mahu ada yang kenal, duduk pun belakang. Cuma saya hadir untuk sekadar mendengar.

“Saya juga ada menghadiri kelas tahfiz dan bagi saya ia suatu perjalanan yang indah jujurnya. Saya belajar secara berperingkat. Saya rasa, saya menyukainya kerana ia jadi pegangan hidup.

“Perubahan di dalam industri seni berubah dalam masa yang sangat cepat. Satu hari kita berada di atas dan sebaliknya. Jadi untuk memiliki sesuatu yang saya tidak ada dalam hidup (agama), bagi saya, rasa selamat dan stabil. Seperti ada arah.

“Untuk memiliki mereka yang tidak menghakimi, macam kawan-kawan yang mengajar saya, rasanya selamat. Cuma kalau boleh tak mahu ulas tentang perkara sebab ia peribadi. Kalau boleh tak nak orang asyik bertanya itu ini.

“Biarlah perlahan-lahan belajar. Saya sayangkan sesebuah agama itu, saya tak mahu prosesnya berlaku dalam keadaan yang tertekan. Apa pun bersyukur kerana saya juga ada ikuti sesi bersama Neelofa secara ‘zoom meeting’. Ramai terbuka menerima, berbanding mereka yang mempersoalkan.

“Cuma pada awalnya saya rasa malu kerana sangka ramai akan menghakimi, tetapi sebaliknya yang berlaku,” katanya yang turut tumpang gembira atas kemenangan karyawan yang bertanding di FFM kali ini.

Terdahulu, Jasmine pernah tersenarai sebagai calon akhir bagi kategori Pelakon Wanita Harapan di FFM30 menerusi persembahannya di dalam filem PASKAL The Movie.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

Published by
MH