Jenazah Allahyarham Sandra Selamat Dikebumikan Jam 6.00 Petang Tadi – “Alhamdulillah, Segala Urusan Dipermudahkan Allah SWT,” – Ibu Arwah

Share

“Bye mama, jangan lupa tutup ‘gate’,” menjadi ungkapan terakhir Allahyarham penyanyi, Sandra Dianne, kepada ibunya, Nor Syakinah pada Sabtu lalu sebelum arwah terbabit dalam kemalangan di Lebuhraya Utara Selatan Hubungan Tengah (Elite) berhampiran Subang Jaya.

Bintang berusia 26 tahun yang terkenal menerusi lagu Hey Kau itu menghembuskan nafas terakhir di Hospital Putrajaya, pada jam 1 pagi, hari ini.

Memetik Harian Metro, Nor Syakinah berkata, pada hari kejadian, anaknya ada meminta baju putih lengan panjang untuk dibawa ke latihan penuh Big Stage 2020 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

“Pagi sebelum dia ke latihan penuh, saya kejutkan untuk dia mandi sebelum air tiada. Selepas mandi dan bersiap, seperti biasa dia akan luangkan masa dulu bersama adiknya.

“Selepas itu dia salam saya dan ayah dia. Sewaktu keluar bilik dia patah balik dan tanya saya jika ada baju putih lengan panjang. Saya cakap tiada, cuma yang ada hanya inner warna putih. Dia cakap tidak apa.

“Saya macam tak puas hati, saya cari lagi baju putih di almari lain dan jumpa. Dia pun bawa baju itu. Ketika itu perasaan saya sudah lain.

“Sebelum dia keluar rumah, saya tunggu di ruang tamu dan berikan dia kata semangat untuk buat persembahan terbaik. Dia pun minta saya doakan untuknya. Selepas salam dan peluk cium, saya pesan untuk memandu berhati-hati.

“Ketika dalam kereta, dia sempat cakap ‘bye mama, jangan lupa tutup ‘gate’. Itulah perbualan terakhir kami,” katanya seperti yang dipetik.

Menurut Nor Syakinah lagi, jenazah sempat dimandi, kapan dan disembahyangkan di Hospital Putrajaya sebelum dibawa pulang ke kampung halaman di Kg Kauluan, Tuaran, Sabah untuk dikebumikan.

“Sebagai ibu mestilah sedih sebab kehilangan anak yang menyayat hati. Dia hilang sekelip mata.

“Alhamdulillah, segala urusan hari ini dipermudahkan Allah SWT. Semuanya lancar dari hospital sehinggalah tiba di Sabah petang tadi.

“Di hospital jenazah dimandi, dikapan dan disembahyangkan. Setibanya di kampung pun jenazah disembahyangkan sekali lagi,” katanya.

Jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kauluan kira-kira jam 6 petang tadi.

Sumber/Foto: Harian Metro

Published by
MH