Abang Allahyarham Nur Farah Kartini Abdullah, iaitu Mohd Farriza Amir Abdullah, 28, syukur kerana urusan pengebumian adiknya dipermudahkan, kira-kira jam 5.20 petang Khamis.

Mohd Farizza Amir ditemui selepas pengebumian adik perempuannya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Nyiur Manis, Pekan, Pahang.

Sehubungan itu, dia dan ahli keluarganya mendoakan semoga Allahyarham Nur Farah Kartini ditempatkan di kalangan orang yang beriman.

“Alhamdulillah, segalanya sudah selesai dan dipermudahkan segala urusan.

“Saya juga ingin berterima kasih kepada semua pihak khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Hospital Sungai Buloh yang memudahkan segala urusan.

“Bantuan yang diberikan membantu kami dalam memudah dan menguruskan proses pengebumian Allahyarham,” katanya, lapor Harian Metro.

Ditanya pemilihan urusan pengebumian Allahyarham Nur Farah Kartini di Pekan, Mohd Farriza berkata, ini kerana dia berkahwin dengan isterinya yang berasal dari Kampung Nyiur Manis.

“Pada masa sama, proses pengebumian lebih mudah dan saya bersyukur kerana segalanya sudah selesai,” katanya.

Terdahulu, jenazah Allahyarham Nur Farah Kartini, 25, selamat dikebumikan pada 5.20 petang di Tanah Perkuburan Kampung Nyiur Manis selepas tiba kira-kira jam 5 petang.

Turut hadir wakil Kerajaan Pahang, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Pahang, Datuk Mohamad Nizar Najib yang menyatakan

kerajaan negeri sedih dan melahirkan simpati dengan kejadian yang menimpa wanita itu.

“Saya juga berkesempatan untuk menyampaikan sumbangan daripada Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail kepada keluarga mangsa.

“Kita harap ahli keluarga tabah hadapi ujian ini dan doakan mereka yang bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan,” katanya.

Isnin lalu, mayat Nur Farah Kartini ditemui di sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Sri Keledang, Hulu Selangor pada 6 petang, selepas dilaporkan hilang sejak 10 Julai lalu.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini

Sumber: Harian Metro

SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI