Jenazah Syazlin Zainal Selamat Dikebumikan, Abang Sulung Berkongsi; “Dia Berjanji Nak Sambut Hari Jadi Sama-Sama, Sepatutnya…”

Share

Abang sulung kepada Allahyarham Syazlin Zainal iaitu Ezra Zaidi,35, mengakui dia tidak menyangka ucapan hari jadi daripada adik bongsunya itu di Instagram menjadi interaksi terakhir mereka sebelum pelakon berkenaan meninggal dunia, pada Khamis.

Menurut Ezra Zaidi, dia pelik apabila arwah memuat naik foto mereka bersama di media sosial kerana sebelum ini, Syazlin tidak pernah berbuat demikian bagi menjaga privasi keluarga.

“Sejak dia bergelar selebriti, arwah sangat menjaga privasi kami sekeluarga dan tidak pernah memuat naik apa-apa gambar kami di media sosialnya.

“Tapi pada hari jadi saya 8 November lalu, itu pertama kali dia

post dekat media sosial dan tag saya sekali sehingga ramai orang tanya tentang hubungan sebenar kami.

“Tak sangka pula itu menjadi petanda dia akan pergi meninggalkan kami buat selama-lamanya,” katanya, lapor mStar.

Terdahulu, jenazah Allahyarham telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, AU4, Taman Keramat Kuala Lumpur, kira kira jam 10:05 malam tadi.

Ramai yang hadir memberikan penghormatan terakhir buat arwah selain ahli keluarga termasuk sahabat dan rakan selebriti seperti Shah Jaszle, Mas Khan dan Fiza Thomas.

Ezra yang ditemui selepas upacara pengebumian jenazah Syazlin menambah, mereka merancang menyambut ulang tahun kelahiran bersama-sama memandangkan hari jadi Syazlin jatuh pada 14 November ini.

“Dia sudah berjanji nak sambut hari jadi kami sama-sama dan sepatutnya datang ke Kuala Lumpur semalam tapi tidak kesampaian,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Ezra memberitahu ketika dimaklumkan mengenai pemergian adik bongsunya itu, dia menyangka arwah ke luar kawasan untuk menjalani penggambaran.

Bagaimanapun apabila diberitahu Syazlin sudah meninggal dunia, dia segera ke Johor Bahru bagi mendapatkan kepastian berita tersebut.

“Masa diberitahu saya tengah kerja. Apabila sebut Syazlin sudah tiada atau pergi, saya ingat dia pergi kerja di luar kawasan seperti mana kebiasaan sebelum ini.

“Apabila sedar yang dia sudah meninggal dunia, saya bergegas ke Johor dan menuju terus ke balai polis bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai kematian adik saya,” katanya.

Kata Ezra, Syazlin tinggal bersendirian di pangsapuri berkenaan namun sering berpindah randah bergantung lokasi dia menjalani penggambaran.

Memandangkan adiknya itu seorang yang menjaga privasi, mereka juga tidak mengetahui secara khusus tempat tinggal sebenar arwah.

“Dia memang tinggal bersendirian di Johor Bahru tapi kami tidak tahu lokasi sebenar rumahnya memandangkan dia sering berpindah,” jelasnya yang masih buntu dengan punca kematian arwah.

Dalam pada itu pada Jumaat, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisinor Raub Selamat mengesahkan seorang wanita maut dipercayai terjatuh daripada tingkat 22 di sebuah pangsapuri di Taman Iskandar, Johor Bahru.

Pihak polis menerima panggilan daripada orang awam memaklumkan penemuan mayat wanita berusia 26 tahun di bahagian bawah pangsapuri kira-kira pukul 12.50 tengah hari.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara, jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.

Sumber, Foto: MStar, Gempak

Published by
MH