Menjadikan platform media sosial sebagai satu medium perantaranya bersama pengikut, juara Dewi Remaja 2019, Shaza Bae bagaimanapun tetap mengawal ketat akaun Instagramnya.
Baginya, media sosial kini memberikan impak yang sangat hebat dalam diri setiap individu.
“Saya sangat menjaga akaun media sosial saya kerana ia merupakan perkara yang sangat penting dengan adanya teknologi sedemikian.
“Jika ada benda yang mungkin terlalu peribadi, saya tidak akan berkongsi di media sosial atau bersama kumpulan ‘closed friend’ sahaja,” katanya kepada MH
.Menjadikan kedua ibu bapanya sebagai idola, gadis berusia 24 tahun ini akui bahawa media sosial mempunyai banyak kesan negatif.
“Sosial media merupakan satu impak yang sangat besar pada masa kini walaupun dari sudut yang nampak ringan seperti ‘nak makan apa?’ atau muat naik gambar bersama kekasih.
“Nampak remeh, tetapi mungkin ada orang yang ‘memerhatikan’ setiap apa jua yang kita kongsikan di media sosial.
“Jadi,kena bijak dan berhati-hati sebelum berkongsi di media sosial,”kongsi anak kelahiran Kuala Lumpur ini.
Terdahulu, Shaza dinobatkan sebagai juara Dewi Remaja 2019 dan membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 berserta trofi.
Tempat kedua dimenangi Adriana Ghafar, 21, dari Johor, berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM7,000 dan trofi.
Nynaa Harizal berada di tempat ketiga dan membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000 serta trofi.
Sementara itu, dua lagi peserta akhir iaitu Syamira Izzati dan Shatirah Amanda di tempat keempat dan kelima.
Masing-masing berjaya membawa pulang wang tunai RM1,000 dan trofi.
Selain lima peserta akhir, dua lagi peserta Top 12 iaitu Nina Amin dan Sharlina Gilbert masing-masing diumumkan sebagai pemenang anugerah Dewi Inspirasi dan Dewi Favourite.
Juri tetap program ini ialah Scha Al-Yahya dan Yusry Abdul Halim di samping dua juri jemputan iaitu Datuk Aznil Nawawi dan Dr Soo Wincci.
Manakala program ini dihoskan oleh Amelia Henderson dan Kamal Adli.
Foto: Instagram Shaza Bae