“Jika Benar Niat Untuk Membantu, Saya Sentiasa Sokong,” – Afdlin Shauki Sambut Baik Andai Shahrol Shiro Bertanding Di PRN Johor

Share

Baru-baru ini, khabar angin bertiup kencang mengatakan pelawak, Shahrol Shiro bakal dinamakan sebagai salah seorang calon di Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Kami di MH turut berkesempatan menemubual pelakon dan pengarah, Datuk Afdlin Shauki bagi mendapatkan reaksinya berhubung perkhabaran tersebut.

Menurut Afdlin, dia tidak kisah sekiranya ada mana-mana pihak yang ingin menggalas jawatan di dalam pendtadbiran negara, namun, niat mereka hendaklah sentiasa di landasan yang betul sejak daripada awal.

Malah, dia juga turut menitipkan ucapan selamat maju jaya buat Shahrol.

“Pada saya, sesiapa sahaja yang jujur ingin membantu rakyat, itu satu tindakan yang bagus. Jika benar niatnya jujur untuk membantu, saya akan sentiasa sokong. Walaupun daripada fahaman politik yang berbeza, janji niat harus betul.

“Jangan masuk bidang politik ini semata-mata kerana kuasa atau agenda sendiri. Kena tanam niat daripada awal yang kita memang suka bantu dan selesaikan masalah orang.

“Saya ucapkan all the best buat Shahrol Shiro. Perkara sama juga saya katakan kepada kawan-kawan saya seperti Datuk Dira Abu Zahar. Dia juga dah berjaya di arena politik ni,” katanya.

Pelakon filem, Papadom ini berkata sedemikian sewaktu ditemui di majlis tayangan perdana filem, The Assistant yang berlangsung di The Starling Mall, Petaling Jaya pada Selasa.

Pada masa sama, Afdlin turut menyifatkan penglibatan anak-anak seni di dalam kancah politik ini bakal memberi impak positif buat industri tersebut

“Bila lebih banyak anak-anak seni berjaya di arena politik, itu menunjukkan kita ini bukannya bodoh seperti yang ramai sangkakan. Kita ini semua pergi sekolah.

“Kita faham situasi-situasi yang melanda negara cuma kerjaya kami dalam cabang seni. Tak semestinya orang-orang seni ini tidak berfikir. Kejayaaan mereka-mereka ini telah membuktikan sesuatu.

“Harapan saya agar mereka juga dapat menjadi platform suara untuk anak-anak seni di arena politik ini. Hanya mereka sahaja yang faham kerjaya di bidang seni ini.

Ketika ditanya adakah dia juga bakal mengikut jejak langkah yang sama, ini reaksi yang diberikan oleh Afdlin;

“Saya masih lagi aktif menjalankan kerja-kerja saya bersama parti politik
Parti Keadilan Rakyat (PKR). Tugas saya adalah membantu dan menyokong sesiapa sahaja yang dipertanggungjawabkan.

“Segala keputusan mengenai tanggungjawab saya terpulang kepada orang atasan. Buat masa ini saya selesa bergerak sebagai ahli aktif,” akhirinya.

Terdahulu, pada April 2021, Afdlin mengumumkan dirinya secara rasmi memilih untuk menyertai PKR sebagai wadah perjuangan politiknya.

Selain Afdlin, antara selebriti yang turut diperkenalkan termasuklah penyanyi rap, Altimet.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

Published by
Aizam Manaf