Lebih sedekad berada dalam dunia seni, Neelofa atau nama sebenarnya, Noor Neelofa Mohd Noor mendedahkan dirinya sudah kalis kecaman termasuk yang dilemparkan terhadap keluarganya.
Malah, apa sahaja yang melibatkan figura terkenal ini akan mendapat perhatian ramai, termasuk pelbagai reaksi yang diberikan netizen di media sosial.
Mengulas mengenai hal itu, bekas hos program MeleTOP ini menyifatkan reaksi yang diberikan netizen juga tidak memberi kesan terhadap dirinya.
“Kecaman sudah sinonim dengan diri saya. Selama 10 tahun saya berdepan dengan pelbagai tohmahan namun, tidak memberi kesan kepada saya.
“Orang hendak labelkan saya ‘Kardashian’ atau apa sahaja… Ia tidak memberi kesan kepada kami.
“Alhamdulillah, keluarga saya juga tidak fokus terhadap kecaman dan kata-kata orang. Sebagai ‘public figure’, saya banyak menasihati dan memberi pendapat kepada keluarga bagaimana berdepan tohmahan.
“Ternyata mereka sudah dapat menyesuaikan diri dan faham,” katanya yang dipetik menerusi Berita Harian, baru-baru ini.
Pada masa sama, usahawan asal Kelantan ini turut menjelaskan mengenai cara pemakaian niqabnya yang dipersoalkan, misalnya apabila ada yang mendakwa dia sudah berani mendedahkan bahagian dahi dengan memakai tudung jenis bawal.
“Saya akan pakai apa yang saya rasa selesa. Jika hari ini, saya rasa hendak berniqab, saya akan pakai.
“Kalau esoknya, saya rasa hendak berpurdah, itu hak saya. Saya tidak terkesan atau perlu mengikut kehendak netizen.
“Mungkin kerana sudah semakin matang dan lama dalam industri, saya lebih tenang berdepan apa saja tohmahan,” katanya yang turut mengakui, kecaman diterimanya dahulu lebih teruk berbanding sekarang.
“Sekarang, orang hendak kata apa, biarlah… Saya lebih tenang kerana tahu bagaimana hendak menangani emosi dan mental,” katanya lagi.
Sumber, Foto: Berita Harian, Instagram Neelofa