“Jika Kita Majikan Yang Sayang Staf, Mereka Akan…,” – Pernah Lalui Fasa ‘Zero Income’, Sherry Ibrahim Pilih Tak Berhentikan Pekerja Sebab…

Share

Pandemik Covid-19 yang melanda dunia sejak Mac 2020 menjejaskan pelbagai sektor sekaligus memberikan kesan.

Hal ini termasuk buat pelakon Sherry Ibrahim atau nama sebenarnya, Syarizad Ibrahim, 39, yang cukup merasai tekanan untuk meneruskan bisnes salon rambut miliknya yang tergendala disebabkan penularan Covid-19.

Walaupun merasa terbeban, namun dengan sikap penuh bertanggungjawab sebagai seorang majikan, Sherry memilih untuk tidak memberhentikan empat pekerjanya.

Sebaliknya, dia mencuba pelbagai alternatif lain demi menyelamatkan perniagaannya termasuk menjual produk penjagaan rambut di salon tersebut.

“Ketika berdepan dengan cabaran pandemik yang pada masa itu salon saya baru sahaja dibuka, saya harus fikir juga tentang nasib kakitangan jika mereka diberhentikan.

“Tidak mudah sebenarnya menguruskan perniagaan sendiri dan saya pernah merasa situasi zero income ketika pandemik sebelum ini.

“Saya percaya jika kita seorang majikan yang sayangkan staf, mereka akan lebih menghargai kita dan Alhamdulillah mereka masih lagi bekerja dengan saya sehingga hari ini,” katanya kepada Media Hiburan.

Pelakon drama Syurga Yang Kedua ini berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media Ad Hoc Raya 2020 yang berlangsung di WTC, Kuala Lumpur pada Sabtu.

Di sebalik kesukaran itu, Sherry bersyukur dia dapat melalui cabaran tersebut dan berterima kasih dengan tawaran seni yang diterima sepanjang tempoh itu termasuk program The Masked Singer Malaysia 2.

“Penyertaan dalam The Masked Singer telah membuka hati saya untuk lebih serius dalam bidang nyanyian.

“Bukan bermakna saya tamak dan nak buat semua perkara tetapi saya mahu serlahkan lagi bakat dalam bidang nyanyian,” katanya.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara, jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

Foto: Instagram Sherry Ibrahim

Published by
Juliana Johar