Hiburan

JoBranko Nafi Letak Harga Tinggi Untuk Tolak Usaha Berbaik, Anggap Awie Tak Profesional?

Share

Gitaris terkenal, JoBranko menafikan dakwaan dia sengaja meletakkan bayaran yang tinggi untuk kumpulan Barbarik sebagai tanda untuk menolak usaha berdamai yang cuba dilakukan vokalis Wings, Datuk Awie.

Menerusi kenyataan media yang dikeluarkan pada Rabu, JoBranko atau nama sebenarnya Abdul Zamin Abdul Kadir menyifatkan soal harga ini tidak sepatutnya dicampurkan dengan urusan peribadi.

“Saya ingin menegaskan bahawa soal harga yang dibincangkan adalah perkara biasa dalam mana-mana urusan profesional, termasuk dalam industri muzik.

“Setiap artis, termasuk Barbarik, mempunyai hak untuk meletakkan nilai yang sesuai berdasarkan pengalaman, bakat, dan reputasi.

“Saya pasti, Awie atau mana- mana artis yang lain juga mempunyai nilai yang pada hemat mereka bersesuaian dengan reputasi dan harga pasaran mereka. Ini adalah perkara asas dalam industi hiburan di seluruh dunia.

“Meletakkan harga tertentu tidak
seharusnya dianggap sebagai penolakan terhadap hubungan silaturahim. Adalah penting untuk kita memisahkan urusan profesional daripada hal peribadi,” katanya.

Pada masa sama, bekas gitaris kumpulan Wings ini memaklumkan dia akan sentiasa menyambut baik usaha berdamai ini jika ia dilakukan secara ikhlas.

“Jika benar niat untuk bersilaturahim, cara terbaik adalah dengan pendekatan peribadi bukan melalui tawaran komersial seperti konsert.

“Saya terbuka untuk duduk dengan sesiapa sahaja, termasuk Awie jika tujuan utama adalah untuk memulihkan hubungan lama.

“Tetapi ianya mesti di mulakan dengan niat dan tujuan yang tulus dan ikhlas,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, JoBranko akui kecewa dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Awie selain turut menyifatkan ia tindakan yang tidak profesional.

“Mengeluarkan kenyataan yang jelas mengelirukan sebenarnya bukan untuk memulihkan hubungan silaturahim tapi kelihatan mempunyai niat yang tidak baik.

“Dalam dunia teknologi masa kini, Awie boleh saja menghantar mesej menggunakan Whatsapp atau menghubungi telefon saya jika beliau ikhlas tetapi mengeluarkan kenyataan melalui media dan mempersoalkan harga yang letakkan oleh kumpulan Barbarik adalah
jelas tidak profesional,” ujarnya.

Katanya lagi, dia juga sudah pun memaafkan dan melupakan segala sengketa lama bersama Wings.

Malah, dia kini hanya mahu memberikan fokus bersama Barbarik dan meneruskan kehidupan seperti biasa.

Media semalam melaporkan Awie menerusi syarikatnya menawarkan kepada JoBranko dan kumpulannya, Barbarik untuk mengadakan persembahan di Rock Warrior Music Festival (RWMF) tetapi tidak kesampaian apabila JoBranko dikatakan meletakkan harga tinggi.

Awie kemudian mendakwa JoBranko menolak silaturahim yang dihulurkan apabila menolak tawaran itu dengan meletakkan harga yang tinggi.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan di sini.

Sumber & Kredit Foto: Instagram JoBranko

Published by
MH