Johan As’ari Seronok Main TikTok, Tak Sangka Dari Suka-Suka Makin Serius

Share

Pernah ‘menghilang’ beberapa ketika dalam dunia hiburan kerana tidak mendapat tawaran kerja, pelakon Johan As’ari kini mengakui sudah semakin seronok melayan aplikasi TikTok sehingga boleh meraih pendapatan lumayan pada setiap bulan.

Menurut Johan atau nama sebenar Jona Ariff As’ari, 37, disebabkan kesungguhannya mengadakan sesi live setiap kali bersiaran di aplikasi tersebut, namanya kini tersenarai di antara 50 tiktokers terbaik di Malaysia.

“Saya tiada menghilang ke mana-mana.. sebelum ini dah tiga bulan saya tidak ada job, dua minggu saya buat siaran langsung di TikTok, saya tak sangka boleh menjana pendapatan daripada situ.

“Saya tak ada niat pun cari duit dekat TikTok, hanya nak isi masa lapang disebabkan tidak mempunyai sebarang penggambaran drama.

“Saya hanya bersembang dengan peminat dan tak sangka, hari pertama bermain TikTok saya menerima banyak hadiah daripada mereka yang bermurah hati.

“Malah, kalau ikut ranking, saya kini berada di kedudukan 46 terbaik di Malaysia,” katanya.

Johan berkata demikian pada majlis pelancaran kerjasama melibatkan KamiSempoi International Agensi (TikTok) dan Kelab Wanita Ikon Malaysia kempen CSR, ‘Are You Okay?’ yang berlangsung di ibu kota, baru-baru ini.

Pelakon filem Air Force The Movie ini juga mendedahkan pada permulaannya, dia hanya menggunakan bekas botol kurma sebagai tripod untuk mengadakan sesi siaran langsung bersama peminat.

Malah, topik yang dikongsikannya juga adalah bersifat ‘random’ dan bersahaja.

“Saya cuma ada satu telefon bimbit, pemegang telefon pun tak ada… saya sandarkan telefon pada bekas kurma sahaja.

“Setiap hari pun saya akan berborak pasal benda yang sama sahaja, pasal kehidupan seharian.

“Saya rasa mungkin itu lebih menarik perhatian mereka kerana saya lebih spontan,” katanya lagi.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara, jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

Published by
Juliana Johar