Bisnes

Tutup ‘Pintu’ Dua Minggu Lagi, Jovian Mandagie Henti Sementara Operasi Jenama Fesyen Setelah 17 Tahun Dalam Industri.

Share

Datuk Jovian Mandagie hari ini mengumumkan bahawa beliau telah membuat keputusan untuk menghentikan sementara jenama fesyennya, Jovian Mandagie dan Jovian ready-to-wear setelah 17 tahun berkecimpung dalam dunia fesyen.

Berita tersebut dikongsikan oleh figura berpengaruh dalam dunia fesyen di Malaysia ini pada Khamis, 9 Mei 2024 menerusi satu hantaran di akaun Instagram peribadinya.

“Setelah tempoh 17 tahun yang mengagumkan dalam dunia fesyen bersama Jovian Mandagie dan Jovian ready-to-wear. Bersama dengan pasukan yang hebat dan pelbagai peluang.

“Saya telah mendapat keistimewaan untuk mereka pakaian buat golongan elit  dan kerabat diraja dari seluruh dunia. Kami telah melancarkan pelbagai koleksi dan menggayakan jutaan rakyat Malaysia.

“Meneroka pelbagai kategori fesyen dan membawa idea liar saya menjadi kenyataan. Ia merupakan kegembiraan bagi saya untuk melayan anda semua, Jovianista,” ujarnya panjang mengimbau memori dalam sepanjang berniaga fesyen.

BACA LAGI: “Kami Percaya Perancangan Allah,”- Jovian Mandagie & Nina Ismail Sabri Umum Cerai

Menerangkan lebih lanjut mengenai keputusannya, bapa kepada seorang cahaya mata ini menyatakan perubahan yang dilaluinya sebagai seorang pereka fesyen kepada ahli perniagaan.

 

“Seiring dengan peredaran masa, saya menyedari yang saya sudah bersedia untuk satu perubahan, untuk meneroka apa yang sebenarnya mengujakan saya. Dunia fesyen sentiasa berubah, begitu juga saya yang berubah dari seorang pereka fesyen kepada ahli perniagaan.

“Dengan perkara ini diminda, kami telah membuat keputusan untuk menghentikan sementara operasi di jenama Jovian Mandagie dan Jovian ready-to-wear.

“Kami akan menutup perniagaan ini dalam masa dua minggu, jadi kami mengajak anda untuk membeli-belah dengan kami buat kali terakhir sebelum kami melabuhkan tirai,” tambahnya lagi.

Walaupun begitu, pereka fesyen berusia 37 tahun ini menyatakan bahawa jenamanya mungkin akan membuat kemunculan semula suatu hari nanti, cuma dalam skala yang lebih besar dan lebih baik.

Imbas kembali, Datuk Jovian Mandagie memulakan jenama fesyennya ketika berusia 20 tahun dan ketika itu beliau melayan pelanggannya dari rumah ke rumah, sehinggalah beliau mampu melebarkan jenamanya dengan lebih besar dan memiliki butik di bandar-bandar terkemuka di Malaysia.

++Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan

Published by
Fiezreen