Semalam, seluruh rakyat Brunei meraikan ulang tahun ke-50 bertakhta Sultan Hassanal Bolkiah dengan sambutan yang cukup meriah dan diadakan secara besar-besaran. Disertai 21 das tembakan dan upacara di istana baginda yang berhias emas.
Peristiwa sejarah itu turut memaparkan buat julung kali potret permaisuri dipasang bersebelahan dengan Sultan Brunei di semua pintu gerbang termasuk di jalan raya berbanding sebelum ini hanya baginda seorang ditampilkan.
Majlis sambutan dibanjiri 80,000 rakyat yang turut serta memeriahkan sambutan yang gilang gemilang.
Menerusi satu entri di akaun Instagram @bruneiroyalfamily, dilihat ada memuatnaik beberapa gambar menunjukkan sekitar perarakan khas bersempena sambutan itu.
Yang pasti kelibat anak Raja Brunei, Putera Abdul Mateen Sultan Bolkiah telah memaku perhatian ramai.
Putera Mateen kelihatan kacak menyarungkan persalinan diraja rona kuning emas.
Sultan Brunei, 71, merupakan raja kedua paling lama memerintah, menaiki takhta di negara kesultanan di pulau Borneo tersebut pada bulan Oktober 1967.
Sepanjang lima dekad pemerintahan, baginda bertahta dalam pemerintahan monarki mutlak yang jarang wujud di dunia.
Turut hadir, Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Razak, Presiden Indonesia Joko Widodo, pemimpin Myanmar Aung San Suu Kyi, dan Presiden Filipina Rodrigo Duterte.
Sumber : Astro Awani
Foto : Instagram @bruneiroyalfamily