Terlibat dalam bidang perbankan dan agensi insuran sebelum ini, Farah Syuhada Shamshul, 28, tidak menafikan penampilannya yang tampak yakin menyebabkan dia pernah dipelawa untuk terjun secara serius dalam dunia lakonan.
Malah, Farah yang sebelum ini pernah mencapai tahap ‘Million Ringgit Agency’ bagi dua tahun lalu akui, pelawaan yang diterimanya itu adalah kerana dia dikatakan memiliki ciri pelakon yang boleh diasah bakatnya.
“Jujurnya saya berminat tetapi belum pernah mencuba. Malah saya sendiri tidak mempunyai pendedahan terhadap industri seni juga. Namun saya tidak menafikan, sebelum ini ada kali klien menawarkan peluang untuk hadiri uji bakat lakonan beberapa kali.
“Cuma pada ketika itu, saya masih belum bersedia dan mungkin kerana komitmen padat pada ketika itu membuatkan percubaan itu tersekat. Pada masa sama, saya seorang ‘introvert’. Jadi tak pasti sejauh mana lakonan sesuai dengan saya atau sebaliknya.
“Sekarang saya fokus kepada industri ‘food and beverage’ (f&b) menerusi kafe Farine & Sucre. Jadi buat masa sekarang inilah cinta dan keutamaan saya. Siapa tahu bila tiba masa yang sesuai, saya yakin untuk terlibat dalam seni selepas ini, insya-Allah,” katanya.
Mengulas mengenai kafe yang diusahakan bersama adiknya, Farra Sofea Shamshul, 21, Farine & Sucre yang bertemakan hidangan Perancis ini menawarkan menu enak sambil menjanji keselesaan buat pengunjung.
“Visi kami adalah untuk berkongsi keterujaan para pelanggan melalui makanan berkualiti dan perkhidmatan yang terbaik dalam keunikan suasana yang berbeza.
“Sementara misi kami pula, untuk memberikan pelanggan suatu lokasi yang dapat mencipta momen istimewa dengan menawarkan seleksi makanan bertemakan inspirasi Parisian, perkhidmatan dan suasana baharu kepada masyarakat,” katanya.
Terletak di Seksyen 7, Shah Alam, kafe unik ini juga terbuka untuk menyediakan peluang pekerjaan terutamanya kepada graduan lepasan universiti dan mereka yang tiada pengalaman berkerja untuk sama-sama membina jenama ini bersama mereka.
“Farine & Sucre bermaksud tepung dan gula dalam bahasa Perancis. Ia sangat bersesuaian dengan tema kami, memandangkan kami terinspirasi dengan konsep cafe ala Perancis yang cukup terkenal dengan keenakan pelbagai hidangan pastri.
“Malah di sebalik nama tersebut, ia terselit nilai sentimental, kerana ia berkait rapat dengan huruf pertama pada nama kami berdua iaitu Farah Syuhada dan Farah Sofea,” tambahnya.
Berkongsi mengenai hidangan tanda kenal (signature dish), Farine & Sucre memperkenalkan aneka pencuci mulut (dessert) yang sebahagiannya di import khas dari Perancis.
“Kami terdorong menghidangkan makanan dengan kualiti terbaik, harga munasabah yang bersesuaian dengan permintaan. Malah, sebahagian daripada dessert yang kami sediakan di kafe diimport khas dari Perancis, seperti macarons, baguettes dan chocolate roll!
“Ini kerana sebahagian pencuci mulut iaitu macarons misalnya, perlu melalui proses pembuatan yang rumit dan kami mahu memastikan hidangan yang disediakan di sini hanya yang terbaik dan berkualiti tinggi,” katanya lagi.
Selain hidangan tanda kenal Macarons yang dibawa khas dari Perancis, Pavlova dan Peach strudels juga menjadi antara daya tarikan utama di kafe ini selain pelbagai pilihan pastri.
Malah, minuman istimewa juga tersedia termasuk minuman penyegar yang diolah berkonsepkan figura puteri-puteri Disney.
Bersempena ketibaan Ramadan, mereka tidak ketinggalan menyediakan dua set juadah berbuka puasa setiap hari iaitu Set Asian dan Set Western yang menawarkan harga bermula dari RM50 setiap set.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI