Berita

“Jujurnya Memang Agak Malu, Tapi…,” – Scene Nasi Kangkang Dayang Areeda Cuba Jerat Aliff Aziz Tular, Ini Reaksi Tuan Badan

Share

Sepotong video babak pelakon Dayang Areeda yang cuba menjerat Aliff Aziz dengan menggunakan amalan ilmu sihir, nasi kangkang menerusi drama Terjerat yang ditayangkan di platform penstriman iQIYI mencetuskan tular sekali gus ‘memancing’ perhatian di media sosial.

Menerusi sedutan yang dikongsikan menerusi aplikasi X itu, ramai yang tidak sabar untuk menantikan tayangan episod akhir drama itu bermula hari ini dan esok.

Malah, ramai memberikan reaksi baik terhadap lakonan Dayang yang memegang watak sebagai Shasha di dalam drama itu.

Dayang berkata, babak yang dilakonkan itu adalah kali pertama dijayakannya dan mengaku risau mengenai apa pandangan orang luar terhadapnya.

“Mula-mula agak susah sebab saya tak tahu mcm mana nak buat babak itu tapi selepas dibantu oleh pengarah dan barisan pelakon saya cuba buat dengan sehabis baik.

“Jujurnya memang agak malu, tapi Alhamdulillah segalanya dipermudahkan. Terus terang saya tak takut nak buat babak ini kerana ia hanya lakonan.

“Cuma saya risau pandangan masyarakat apabila melihat saya melakukan babak itu. Tambah pula sekarang ini ramai yang suka mengecam,” katanya.

Menerima pelbagai maklum balas mengenai video babak nasi kangkang itu, Dayang berharap penonton dapat memgambil pengajaran dan iktibar.

“Babak ini tidak dibuat secara suka-suka tapi ada pengajaran yang boleh diambil.

Amalan khurafat seperti ini bukanya rekaan tapi memang ada terjadi.

“Bagi saya, kita kena mengambil pengajaran dan kesedaran mengenai hal-hal seperti ini yang masih wujud dalam dunia serba canggih hari ini,” katanya lagi.

Untuk rekod, babak nasi kangkang yang dilakonkan Dayang meraih lebih 380,000 tontonan di aplikasi X, disusuli dengan ratusan komen warganet.

Terjerat yang membariskan pelakon Aliff Aziz, Ruhainies dan Fendy Bakry bakal melabuhkan tirainya pada minggu ini.

Drama Original iQIYI berdurasi 12 episod arahan Azmi Hatta itu mengisahkan Nadia lakonan Ruhainies yang dibayangi krisis hutang suaminya, Izham (lakonan Fendy Bakry) yang parah akibat judi.

Nadia dijadikan taruhan oleh pemiutang suaminya. Tanpa diduga, Nadia bertemu Faliq (lakonan Aliff Aziz) yang terperangkap dahulu darinya. Semakin hari berlalu, ikatan platonik mereka semakin mendalam seterusnya menjadi hubungan cinta yang terlarang.

Masing-masing punya pasangan hidup justeru, keadaan memaksa mereka untuk memilih antara kesetiaan kepada pasangan mereka ataupun berserah pada takdir sehingga terjerat dalam satu permainan percintaan yang terlarang.

Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini

Published by
MH