Juliana Evans Kekal Merendah Diri – “Kalau Bahagian Protokol, Itu Apabila Saya Bersama Suami Dan Keluarganya.”

Share

Masih kekal ‘simple’ dan merendah diri, itu yang dapat disimpulkan tentang penampilan pelakon dan usahawan, Che Puan Juliana Evans walaupun bergelar isteri kepada kerabat diraja.

Hadir ke majlis tanpa ditemani pengawal peribadi, Juliana atau nama sebenarnya Juliana Sophie Johari Evans, 33, dipuji ramai yang senang melihat dirinya yang dilihat senang memilih gaya hidup sederhana.

Menurut pelakon kacukan Melayu-Inggeris ini, tiada apa yang berubah meski selepas bergelar isteri kepada Tengku Shariffuddin Shah Tengku Sulaiman Shah Al-Hajj.

“Saya rasa tiada banyak perkara berubah tentang diri saya, maksudnya mungkin adalah beberapa perkara melibatkan protokol yang perlu saya turuti.

“Cuma kalau berbicara mengenai diri, sudah tentu lebih matang, lagi pun usia juga dah mencecah 30-an. Akan tetapi saya masih lagi suka berdikari.

“Kalau bahagian protokol, itu adalah apabila saya bersama suami dan keluarganya. Selebihnya, saya hanya macam biasa,” katanya kepada Media Hiburan.

Juliana ditemui pada majlis Tayangan Perdana Program Raya Awesome TV yang di adakan di Hotel Concorde, Kuala Lumpur, pada Rabu.

Dilihat lebih memberi fokus pada keluarga, Juliana berkata sebenarnya dia masih lagi aktif berlakon malah minatnya itu turut mendapat sokongan daripada suami.

“Saya masih lagi suka bekerja dan mahu mempunyai pendapatan sendiri, lagipun berlakon adalah minat saya.  Tidak dinafikan memang ada banyak struggle untuk menjadi seorang pelakon… saya tahu dan sudah pun melalui kesusahan itu dahulu.

“Jadi saya lebih bersedia sekarang berbanding dahulu. Kadang-kadang saya tetapkan peraturan untuk diri sendiri. Sebagai contoh 12 jam sahaja untuk bekerja, saya tahu saya punya ‘limit’ sebab dah melaluinya menerusi pengalaman,” katanya lagi.

Untuk rekod, Juliana mendirikan rumah tangga dengan Tengku Sharifuddin pada 30 April 2017 dan hasil perkahwinan, mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Tengku Kamiliah Zanariah Josephine Ehsan Shah yang kini berusia tiga tahun.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.

Published by
Juliana Johar