“Jumlah Keseluruhan RM319,700…,” – Vellfire & Barangan Kemas Antara Tawaran Pendamaian, Farid Kamil Harap Diana Danielle Lembut Hati

Share

Pelakon dan pengarah, Farid Kamil mengemukakan empat tawaran pendamaian buat isterinya, Diana Danielle merangkumi sebuah kereta Toyota Vellfire, barangan kemas, wang pendahuluan nafkah dan bayaran balik tiket umrah.

Menerusi satu siaran media, Farid menyatakan tawaran tersebut merupakan antara usaha menyelamatkan rumah tangga yang dibina.

“Tawaran pendamaian daripada Farid Kamil kepada Diana Danielle.

“Saya, Farid Kamil Zahari dengan setulus hati di bulan Ramadan penuh barakah ini ingin menawarkan kepada isteri saya, Diana Danielle Danny Beeson tawaran seperti berikut sebagai usaha menyelamatkan keluarga yang amat saya sayangi.

“Pertama, sebuah Toyota Vellfire bernilai RM225,000. Kedua, barangan kemas bernilai RM10,700.

“Ketiga, bayaran pendahuluan nafkah (Mac-Jun 2023) bernilai RM40,000 dan bayaran balik tiket umrah yang sepatutnya adalah hadiah telah bertukar menjadi hutang yang bernilai RM44,000,” katanya menerusi satu siaran media.

Lantaran itu, pelakon filem, Lagenda Budak Setan ini berharap agar tawaran pendamai tersebut dapat melembutkan hati Diana.

“Saya amat berharap dengan tawaran yang membawa jumlah keseluruhan sebanyak RM319,700 ini mampu melembutkan hati isteri demi masa depan anak-anak kami,” ujarnya lagi.

Terdahulu, Farid tiba di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam bagi menghadiri proses sulh atau penyelesaian pertikaian dengan isterinya.

Sementara itu pula, peguam syarie kepada Diana, Datuk Akberdin Abdul Kadir memaklumkan anak guamnya itu tidak akan hadir pada prosedur hari ini.

Terdahulu Sulh adalah majlis perbincangan bersama antara pihak yang terbabit dalam suatu pertikaian, membabitkan satu atau lebih tuntutan dengan dipengerusikan oleh pegawai sulh.

Seandainya suatu persetujuan secara damai dapat dicapai secara sukarela antara kedua pihak, ia akan direkodkan oleh hakim sebagai satu perintah mahkamah tanpa melalui proses perbicaraan.

Pada 10 Mac lalu, Diana memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, di sini.
Alasan diberikan pelakon filem Imaginur itu kerana tiada persefahaman, berlaku shiqaq atau perbalahan berpanjangan dan tidak dapat lagi hidup bersama sebagai suami isteri.

Bagaimanapun, Farid enggan melafazkan cerai terhadap Diana.

Sehubungan itu, Hakim Syarie, Shukran Yusof memerintahkan Farid dan Diana untuk menjalani proses Jawatankuasa Pendamai (JKP) dan menetapkan 30 Mei depan bagi kedua-keduanya memaklumkan kepada mahkamah mengenai laporannya.

Diana melantik pengurus bagi mewakili dirinya, manakala Farid pula melantik kakaknya.

Farid dan Diana mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata, Muhammad, 10, dan Nur Aurora, 8.

Published by
Aizam Manaf