Anggota kumpulan K-Clique, MK menafikan tanggapan segelintir pihak yang melabelkan mereka terlalu mengejar populariti sehingga sanggup menjadi ‘hamba’ media arus perdana.
Menurut MK, sehingga kini dia bersama K-Clique masih selesa bergerak sendiri tanpa terikat dengan mana-mana pihak.
Malah, rapper berusia 24 tahun itu turut menyifatkan melabel mereka sebagai ‘hamba mainstream’ adalah sangat keterlaluan.
“Kalau kata kami ni hamba mainstream saya sama sekali tidak boleh terima perkara tersebut. Saya dan K-Clique sendiri masih lagi ‘independent’.
“Kalau kata saya atau K-Clique kejar mainstream agak sedikit mustahil. Kami masih berdiri di kaki sendiri, kerja sendiri dan tidak menjadi hamba mana-mana pihak mainstream pun.
“Kami hanya mengikut haluan kami sendiri tiada apa yang ingin kami kejarkan. Kami hanya berkerja untuk mencari kesenangan dan kemudahan untuk diri sendiri dan juga keluarga.
“Maksud yang ingin saya sampaikan disini adalah kami mampu untuk bergerak sendiri. Jangan anggap kami ni hamba mainstream,” katanya kepada MH.
Dalam pada itu, MK mendedahkan dia tidak kisah seandainya kumpulan mereka dapat menjadi contoh rujukan kumpulan lain demi mengembangkan industri seni tanah air.
“Ambil kami ini sebagai contoh. Kalau kami boleh buat semua perkara ini sendiri kenapa tidak anda?
“Kami juga bermula dari bawah sama seperti orang di luar sana juga. Mungkin anda boleh jadikan kami sebagai contoh.
“Atau cuba sedikit sebanyak ikut cara kami untuk sama-sama kita naik dalam industri ini,” kongsinya lagi.
Ketika ramai yang mendakwa MK dan K-Clique kini seperti sudah lupa daratan, ini reaksi yang diberikan oleh penyanyi lagu Pulang itu.
“Tak salah pun mereka nak anggap kami seperti itu. Itu hanya tanggapan.
“Tapi bagi yang mengenali diri kami dan yang sentiasa ada di belakang kami, alhamdulillah mereka masih menganggap kami seperti dulu dan tiada apa pun yang berubah,” jelasnya.