Penyanyi, Indah Ruhaila akui ada ketika bukan satu hal mudah baginya untuk membicarakan mengenai soal zuriat lebih-lebih selepas usia perkahwinannya kini telah mencecah hampir lima tahun.
Bagaimanapun, Indah tetap percaya dengan perancangan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT.
“Saya memang kerap kali ditanyakan mengenai soal zuriat ini. Saya memang mahukan zuriat. Setiap pasangan suami isteri mengharapkan untuk punyai zuriat.
“Cuma sekarang ini masih belum ada rezeki untuk saya dan suami walaupun sudah lima tahun berkahwin.
“Bagi orang lain, perkara-perkara seperti mungkin mudah sahaja untuk dijawab tapi bila kita duduk sorang-sorang, barulah terfikir agak susah juga untuk kita berikan jawapan.
“Kadang-kadang saya terfikir, bila kita takda anak ni, nanti dah tua siapa nak jaga kita? Bagaimanapun, saya tidak mahu fikirkan perkara yang tidak baik tentang perancangan Allah SWT sebab dia tahu bilakah waktu yang tepat,” katanya kepada MH.
Pada masa sama, bintang kelahiran program Akademi Fantasia musim ke-10 ini juga tidak mahu metelakkan sebarang tekanan terhadap dirinya berkaitan soal zuriat ini.
“Saya rasa ramai juga pasangan di luar sana walaupun sudah bertahun-tahun tiada anak dan jalani prosedur IVF, rezeki mereka tetap tiada lagi. Itu semua kuasa Tuhan.
“Jadi, saya tidak mahu memberikan tekanan terhadap diri saya sendiri. Kalau ada orang tanya pun, saya akan jawab saya tidak tertekan. Suami saya pun begitu juga. Dia pun percaya bila dah sampai waktunya, rezeki mesti ada,” ujarnya lagi.
Ketika ditanya adakah dia sudah memutuskan untuk menjalani prosedur In vitro fertilization (IVF) dalam masa terdekat, Indah memberitahu, dia masih lagi mahu mencuba untuk hamil secara normal.
“Saya rasa fasa saya ini masih baru lagi kalau nak buat rawatan kehamilan ini. Lima tahun ini masih baru lagi sebenarnya. Saya masih lagi nak mencuba secara natural.
“Umur saya pun bukannya tua sangat. Saya masih ada lagi kudrat,” akhirinya.
Sekadar informasi, Indah mendirikan rumah tangga bersama suami, Ahmad Shariff Ahmad Taufiq pada tanggal 24 Disember 2017.
Terdahulu, Indah baru sahaja melancarkan single terbarunya yang berjudul All My Heart.
Menurut Indah, lagu ini ternyata menampilkan sisi lain kekuatan vokalnya yang sebelum ini sinonim dengan lagu-lagu bernada tinggi.
Karya ini merupakan lagu hasil ciptaan komposer terkenal Ajai dan lirik ditulis oleh STR4WBERICHA.
All My Heart kini sudah boleh didengari di seluruh platform media sosial manakala muzik videonya pula boleh ditonton di saluran Youtube Indigital Music.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.
Kredit Foto: Instagram Indah Ruhaila