Hiburan

Kahwin Waktu Nama Di Puncak, Ikmal Amry Tak Menyesal – “Saya Rasa Cukup, Walau Tak Kaya.”

Share

Pelakon kacak, Ikmal Amry mengakui tidak pernah menyesal dengan keputusannya untuk berkahwin awal meskipun pada ketika itu, namanya sedang mengecap populariti.

Menurut Ikmal atau nama lengkapnya Mohd Zulikmal Amry Ghazali, berkahwin pada usia muda merupakan keputusan yang tepat kerana banyak mengajarnya erti kehiduan.

“Saya memutuskan untuk berkahwin ketika nama saya sedang berada di puncak. Bagi seorang lelaki, 26 tahun adalah lingkungan usia kita sedang sibuk mengejar impian.

“Ketika itu, kita sedang berada di fasa pandemik. Saya tidak menyesal dengan keputusan tersebut. Sebaliknya, saya sangat bersyukur kerana buat keputusan berkahwin awal.

“Melalui perkahwinan ini, saya dapat belajar tentang kehidupan, susah payah, kesabaran dan macam-macam lagi. Perkara-perkara inilah yang buatkan diri saya bertambah baik,” katanya kepada MH.

Bapa kepada dua orang cahaya mata itu berkata sedemikian ketika ditemui di majlis tayangan perdana drama terbaharu yang berjudul, From Saga With Love 2, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Ikmal turut memanjatkan rasa syukur kerana dikurniakan rezeki yang melipah ruah selepas berkahwin.

“Selepas berkahwin, rezeki saya lebih mencurah-curah. Macam-macam cara Allah hantarkan rezeki dan bukan sahaja daripada bidang lakonan.

“Alhamdulillah, saya sentiasa rasa cukup walaupun tidak kaya raya. Itu yang membuatkan saya sentiasa bersyukur,” ujarnya lagi.

Bercakap mengenai drama From Saga With Love 2, bintang kelahiran program Hero Remaja 2017 ini akui naskhah ini telah memberikan lembaran baharu buat kerjayanya sebagai anak seni selepas sukses menerusi musim pertama.

“From Saga With Love ini kembali menghidupkan kerjaya saya. Ketika fasa pandemik, kita berehat agak lama dan orang pun tak pasti sama ada saya masih berlakon atau tidak.

“Bila ditawarkan naskhah ini, ia secara tidak langsung telah menonjolkan kemampuan bakat lakonan saya. Bermula daripada drama ini, saya buat yang terbaik dan serlahkan kualiti lakonan saya,” akhirinya.

Selain Ikmal, drama ini turut dibintangi barisan pelakon seperti Siti Khadijah, Sophia Albarakbah, Fimie Don dan Hun Haqeem.

From Saga With Love 2 ini bakal mula ditayangkan di platform penstriman Viu Malaysia bermula 17 Oktober 2024.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan di sini.

Published by
Aizam Manaf