“Kaji Kesilapan Diri Serta Henti Menunding Jari,” – Cuba Bina Silaturrahim Dengan Abby Abadi, Norman Hakim Kongsi Cerita Selepas Kes Cerainya Dulu

Share

Apabila bercakap mengenai suratan kehidupan yang dilalui, pelakon dan hos Norman Hakim berpendapat setiap apa yang dilaluinya merupakan satu takdir yang telah disusun OlehNya.

Menurut Norman, setiap pasangan yang mendirikan rumah tangga sudah pasti akan diuji dengan pelbagai ujian dan apa yang telah terjadi dipandangnya dari sisi yang positif.

Meski pada awal ia kelihatan sukar, namun bekas model ini percaya, apa yang adalah yang aturan yang terbaik.

“Itulah hakikat kehidupan di mana drama adalah satu kehidupan dan kehidupan adalah satu drama. Pejalanan hidup itu masih lagi jauh dan yang paling penting ukhwah silaturrahim untuk sama-sama kita jalinkan dalam keluarga kecil kami ini.

“Setiap kehidupan yang berkeluarga ada takdir yang tersendiri dan takdir kami merupakan satu episod panjang dalam kehidupan kami pada hari ini.

“Saya percaya ini satu takdir yang terbaik untuk kami sekeluarga bersama dengan anak-anak, isteri, bekas isteri dan juga suami kepada bekas isteri. Jadi kita kena yakin ini merupakan takdir yang terbaik untuk kita,” katanya kepada MH.

Dalam pada itu, bintang berusia 45 tahun ini yang pernah melalui fasa penceraian rumah tangga menasihati kepada pasangan yang ingin bercerai untuk muhasabah serta perbaiki kesilapan diri sendiri.

Jelas Norman, setiap penceraian yang berlaku dalam kehidupan berumah tangga bukan kan satu pengakhiran hidup.

“Sebenarnya ramai juga yang melalui fasa sama seperti kami lalui. Pada yang pernah atau sedang melalui fasa yang sama, bagi saya perlu ada keyakinan antara satu sama lain sebab penceraian bukanlah satu pengakhiran kehidupan berumah tangga.

“Terutama sekali kalau yang dah ada anak, kita kena buang rasa ego dalam diri. Saya bercakap, berdasarkan pengalaman sebab pengalaman yang banyak mengajar kita untuk muhasabah diri kita.

“Kita kena kaji kesilapan diri kita serta berhenti menunding jari untuk bercakap kesalahan orang lain dan sebagainya.

“Saya perbaiki diri segala kesilapan dan kelemahan diri saya sendiri untuk kehidupan berumah tangga saya buat kali kedua tapi pada masa yang sama saya tebus balik salah silap saya dalam perkahwinan sebelum.

Alhamdulillah ukwah itu terjalin sehingga ke hari ini dan harap ianya kekal hingga ke akhir hayat kami,” katanya yang mengakui tiada siapa yang mendirikan rumah tangga mahu ia berakhir dengan perpisahan.

Terdahulu, Norman berkahwin dengan pelakon, Abby Abadi pada tahun 2003 dan berpisah pada tahun 2008.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan tiga orang cahaya mata iaitu Mohamed Danish Hakim, Marissa Dania Hakim dan Maria Danisha Hakim.

Kemudian, Norman mendirikan rumah tangga bersama Memey Suhaiza yang juga pelakon ketika itu pada 24 September 2011.

Hasil perkongsian hidup, keduanya dikurniakan tiga orang cahaya mata bernama, Muhammad Darwisz Hakim, Muhammad Dikhriz Hakim dan Mikayla Delisha Hakim.

Published by
Nazar Rafiqhi