Selepas dilamar Kamal Adli secara langsung di Anugerah MeleTop 2020 (AME2020) malam tadi, adik kepada pelakon Uqasha Senrose iaitu Nelydia dan Raysha Rizrose nyata tidak dapat menyembunyikan rasa teruja terhadap momen bermakna kakak tersayang.
Menerusi Insta Stories, kedua-duanya saling memberikan dedikasi serta tumpang gembira atas perkara tersebut.
“Alhamdulillah, tahniah Sha dan Kamal. Guys, our fav dah nak kahwin,” titip Nelydia sambil menanda nama akaun Instagram ahli keluarganya yang lain yang turut terlibat dalam seni.
Sementara itu, Raysha juga sempat menzahirkan ucapan tahniah buat pasangan selebriti itu.
“Kakakku sudah dilamar. Im not crying, im not crying, im not crying. Tahniah kakakku!!,” tulis pelakon drama rantain Ryan Aralyn yang turut disertakan dengan foto lamaran.
Terdahulu, Kamal Adli membuat kejutan apabila melamar Uqasha Senrose di pentas ketika siaran langsung AME2020 di Pusat Persidangan Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Sambil melutut di hadapan aktres terbabit, Kamal, 34, melafazkan kata lamaran dengan menyerahkan buat pelakon cantik berusia 28 tahun itu.
Sambil menyatakan persetujuan apabila dilamar, pasangan pelakon Perempuan Tanpa Dosa itu mendapat sokongan penonton sekali gus meleraikan teka-teki mengenai hubungan mereka berdua.
Sebelum ini, hubungan baik mereka menarik perhatian ramai lebih-lebih lagi selepas keduanya digandingkan dalam drama Setelah Terlafaznya Akad, tahun lalu.
Malah beberapa bulan lalu, pengarah drama Perempuan Tanpa Dosa, Michael Ang dilaporkan secara tidak sengaja turut bertanya kepada Kamal dan Uqasha apakah mereka pernah mengikuti kursus perkahwinan di Kuantan, Pahang, ketika penggambaran drama terbabit.
Foto: Astro, Instagram Era.je, Nelydia, Raysha Rizrose