Hiburan

“Kaki Kencing Ini Memang Ada…,” – Jangan Biar Penganjur Konsert Ambil Kesempatan, Nasihat Tomok Buat Penyanyi Baru

Share

Penyanyi dan vokalis kumpulan New Boyz, Tomok, menasihatkan setiap penyanyi yang berhasrat untuk mengadakan konsert untuk mengambil tahu tentang latar belakang pihak penganjur terlebih dahulu.

Menurut Tomok, tindakan ini perlu bagi mengelakkan wujudnya insiden penipuan atau penganiayaan, lebih-lebih lagi terhadap penyanyi baharu.

“Saya tidak nafikan perkara ini memang biasa berlaku, ada dalam kalangan pihak penganjur yang suka menyakinkan penyanyi baru untuk mengadakan konsert.

“Saya rasa tak ramai artis baru yang bersedia untuk membuat konsert. Penganjur pula seakan memberikan harapan dan bulan bintang.

“Namun, bila ada perkara yang tidak diingini berlaku, ia akan terpalit kepada artis itu sendiri.

“Sebagai artis kita kena ambil tahu juga latar belakang dan pengalaman pihak penganjur,” ujarnya.

Tomok berkata demikian ketika ditemui di majlis sidang media konsert Tomok & Siti Nordiana ‘Memori Mungkin Berulang’ bertempat di The Majapahit, Kuala Lumpur pada Rabu.

Tambah penyanyi lagu Sejarah Mungkin Berulang itu lagi, dia juga pernah berhadapan dengan situasi sama sepanjang 25 tahun bergelar anak seni.

“Kalau ikutkan memang banyak kes seperti ini berlaku, orang-orang yang suka mengambil kesempatan ini wujud dari dulu sampai sekarang.

“Kaki kencing ini memang ada. Ada yang undang kita buat persembahan tapi bila hal bayaran, hilang begitu sahaha.

“Jadi, sebagai orang yang berpengalaman, kita kena bijak menguruskan konsert sendiri seperti meminta deposit dan mewajibkan kontrak. Perkara seperti ini memainkan peranan penting.

“Kita jangan bagi orang-orang seperti ini mengawal segala hal berkaitan konsert. Yang busuk nanti nama artis bukan penganjur. Proses perbincangan itu penting, jangan asal boleh sahaja,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Tomok teruja untuk mengadakan konsert pertama bersama Siti Nordiana selepas lebih dua dekat berada dalam industri seni.

Konsert Tomok & Siti Nordiana Memori Mungkin Berulang ini dijadualkan berlangsung pada 1 Februari 2025 bertempat di Zepp Kuala Lumpur.

Tiket pula sudah mula dijual pada 28 Oktober dengan harga permulaan RM98, RM198, RM298, RM398, RM498 dan VIP BOX RM5000.

Sehingga kini, tiket sudah berjaya dijual hampir 50 peratus.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan di sini.

Published by
Aizam Manaf