Aktor, Kamal Adli menafikan dakwaan segenlintir pihak yang mengatakan dirinya pelakon bermasalah dan tidak menghormati waktu bekerja ketika di set penggambaran.
Menurut Kamal, sepanjang lebih 15 tahun bergelar anak seni, rata-rata pihak produksi sudah faham dengan cara kerjanya lebih-lebih lagi dalam soal pengurusan masa.
“Tidaklah begitu. Saya sudah berada di dalam industri ini selama 15 tahun dan call time bukan satu masalah buat saya. Saya tahu call time saya.
“Kita ambil contoh, kalau call time penggambaran pukul 8 pagi, saya akan bagitahu pihak produksi yang saya tidak akan sampai pada pukul 8 pagi kerana saya bukan orang yang suka sarapan.
“Saya pun bukan pelakon yang bersolek dan akan sampai ke set dalam keadaan rambut yang sudah siap didandan. Tinggal pakai baju dan terus berlakon,” katanya kepada MH.
Suami kepada pelakon, Uqasha Senrose ini berkata sedemikian ketika ditemui di majlis tayangan perdana filem Tahluk: Lahad Datu yang berlangsung di GSC Mid Valley, Kuala Lumpur pada Khamis.
Katanya lagi, dia juga tidak mengambil masa yang lama untuk mempersiapkan diri sebelum memulakan penggambaran.
“Siapa yang sudah biasa dengan saya, mereka tahu cara kerja saya bagaimana. Rata-rata pihak produksi juga sudah faham dan mereka tahu saya datang ke set dalam keadaan yang sudah bersedia.
“Saya baca skrip ketika rehearsal dan terus masuk berlakon di set,” ujarnya lagi.
Sementara itu, mengulas mengenai filem Takluk : Lahad Datu, Kamal yang membawa watak Jai mengakui berdepan cabaran ketika menjalani latihan bersama pihak Komando Polis Diraja Malaysia di Kem Ulu Kinta.
Bagaimanapun Kamal berkata, dia bersyukur kerana berjaya melalui latihan tersebut dan dapat menerapkan semangat sebagai anggota polis sewaktu menjayakan filem berkenaan.
“Kesemua pelakon harus menjalani latihan dengan komando polis. Kami dihenyak dari pagi hingga ke petang.
“Ketika di sana, status kami sebagai pelakon tidak lagi digunapakai. Kami jalani latihan asas namun ia agak mencabar fizikal dan mental.
“Memang perit tapi saya syukur hasilnya memuaskan hati dan harap filem ini dapat meninggalkan impak kepada penonton terutama pada bulan kemerdekaan,” katanya.
Filem arahan Zulkarnain Azhar tersebut akan ditayangkan di pawagam bermula 22 Ogos depan.
Selain Kamal, filem ini turut dibintangi barisan pelakon seperti Syafiq Kyle, Emma Manan dan Fikry Ibrahim.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.