Ibu kepada Allahyarham Nidza Ahfam, Irni Yusnita Istihat menerima pemergian anaknya dengan hati yang terbuka.
Menurut Irni, hatinya juga reda saat telefon bimbit dan dompet anaknya ditemui berhampiran jambatan Sungai Klang di Klang, Selangor.
“Bila saya dan anak bongsu menjumpai dompet dan telefon bimbit, kita sudah rasa mungkin dia sudah berada di bawah (sungai).
“Balik sahaja ke rumah selepas membuat laporan polis, saya terus solat dan berdoa ‘Ya Allah, Kau pulangkan anak aku dalam keadan sempurna seperti mana kau berikan kepadaku ketika dilahirkan’,” katanya kepada MH.
Ibu kepada tujuh orang cahaya mata itu ditemui sejurus majlis pengebumian anaknya itu di Tanah Perkuburan Islam, Puncak Alam, Selangor pada Khamis.
Dia juga lega apabila jasad anaknya itu ditemukan dalam keadaan sempurna.
“Apapun yang berlaku pada ajalnya, saya tidak peduli lagi. Allah itu satu. Kalau ada yang berniat jahat. Pasti akan mendapat balasan. Tugas kita adalah reda.
“Hati saya betul-betul tenang apabila masuk ke bilik forensik dan tengok raut wajah Ahfam. Ketika saya duduk sewaktu jenazah dimandikan, saya melihat tiada satu anggota pun yang terpatah.
“Allah beri kesempurnaan seperti mana ketika saya melahirkan dia. Itu sudah cukup,” ujarnya lagi.
Ditanya mengenai hasil siasatan dan laporan forensik, Irni memaklumkan dia enggan terlalu memikirkan hal itu ketika ini.
“Saya tak nak fikir hal itu. Ia bukan kerja saya. Kalau polis nak siasat, silakan. Tapi saya dah reda. Doakan anak syurga saya,” akhirinya.
Terdahulu, Allahyarham Nidza telah selamat dikebumikan sekitar jam 6.30 petang tadi.
Kira-kira 300 orang hadir mengiringi perjalanan terakhir arwah termasuk ibunya, Irni Yusmira dan kakaknya, yang juga penyanyi, Aufahanie, ahli keluarga serta kenalan terdekat.
Terdahulu, jenazah tiba di Masjid Puncak Alam sekitar pukul 6 petang untuk disembahyangkan.
Urusan pengebumian hari ini turut disempurnakan Nazir Masjid Puncak Alam, Aiman Wafiy Roslan.
Sebelum itu, segala urusan bedah siasat terhadap jenazah selesai dijalankan di Unit Perubatan Forensik, Hospital Shah Alam, Shah Alam hari ini.
Semalam, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan mayat seorang lelaki ditemui sekitar Jambatan Sungai Klang adalah Nidza Afham, 23, yang dilaporkan hilang selepas berjoging di Stadium Sultan Sulaiman, di sini, pada Rabu.
Pengesahan itu dibuat menerusi jersi yang dipakai ketika mayat itu ditemui.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini