Selepas diundang sebagai hos jemputan di program hiburan, MeleTop di samping hos tetapnya, Nabil Ahmad Selasa lalu, Elly Mazlein mendedahkan dirinya terima banyak maklum balas positif di kalangan peminat.

Menyifatkan sokongan yang diraih sebagai satu pembakar semangatnya untuk melakukan yang lebih baik dalam sisi pengacaraan selepas ini, penyanyi Merry Go Round itu turut merakam rasa syukur kerana diberi kepercayaan dari pihak produksi.

IKLAN

“Alhamdulillah saya bersyukur sangat kerana diberi peluang untuk menjadi hos bersama dengan Nabil Ahmad.

“Rasa gembira bila penonton di studio pun turut sama terhibur, meriah dengan sorakan dan ketawa mereka.

IKLAN

“Jadi saya pun pastinya rasa gembira bila dapat reaksi yang positif dari peminat. Ada juga komen yang baik-baik saya terima,” katanya kepada MH.

Ditanya mengenai suara-suara peminat yang meminta dirinya terus berada di posisi hos kekal bersama Nabil, Elly yang sinonim disapa Kak Lina punya jawapan sendiri.

“Kalau ada peminat yang cadangkan agar saya jadi hos kekal pula, itu di luar bidang kuasa saya. Saya terima pelawaan dan hadir ke studio untuk menjalankan tugas sebagaimana yang diamanahkan.

“Selebihnya ia di luar bidang kuasa saya. Saya pun tak berani nak cakap lebih-lebih. Datang sekadar hos jemputan.

“Walaubagaimana pun, saya nak ucapkan terima kasih kepada produksi, Nabil, peminat dan semua yang sokong dengan memberikan kata semangat.

“Terima kasih yang seronok tengok gelagat kami di MeleTop,” jelasnya.

Terdahulu, ibu kepada seorang cahaya mata ini pernah diundang oleh produksi sama untuk bercerita mengenai kisahnya selepas selamat mendirikan rumah tangga bersama suami, Mohamad Azlan Che Noh.