Penyanyi meningkat naik, Shalma Eliana mendedahkan dirinya kini terpaksa menangguhkan hasrat untuk menyambung pelajarannya ke luar negara memandangkan negara ketika ini masih lagi berperang dengan penularan wabak Covid-19.
Jelas Shalma atau lebih mesra disapa Yana, segala perancangan telah disusun dengan baik dan sekiranya tiada aral yang melintang, dia akan berangkat selewat-lewatnya tahun hadapan.
“Sepatutnya saya akan pergi tahun ini tapi disebabkan pandemik ni kita pun tak boleh nak ke luar negara. InsyaAllah sekiranya semua dah reda saya akan berangkat tahun hadapan.
“Sebab tu saya pun semangat nak dapatkan vaksin. Perancangannya masih lagi berjalan. Tapi kita kena tengok keadaan semasa juga. Kalau ada rezeki saya tetap akan pergi,” katanya kepada MH.
Dalam pada itu, Shalma turut memberi tahu, dia kini memerlukan sedikit masa untuk menentukan mengenai jurusan dan universiti yang akan disertainya nanti.
“Saya masih lagi memikirkan mengenai kursus yang akan saya pilih. Saya ingat nak sambung je pengajian diploma saya dalam bidang komunikasi dan media tapi pada masa sama saya juga ada terfikir nak ambil jurusan bisnes.
“Universiti juga banyak tapi saya mungkin terfikir untuk ke Hendon di London sebab kakak-kakak saya juga belajar di sana. Jadi, bolehlah mereka boleh bagi tips dan tunjuk ajar.
“Segalanya masih dalam perancangan. Saya tidak mahu pergi ke kawasan yang terlampau pendalaman atau terlalu dekat dengan bandar. Nak buat pilihan ni agak sukar,” jelasnya lagi.
Shalma yang baru sahaja muncul menerusi single terbaru berjudul, Rambang itu berkata sedemikian dalam satu temu ramahnya bersama MH baru-baru ini.
Ditanya mengenai soal kariernya selepas ini, Shalma mendedahkan dia mungkin akan berehat buat sementara waktu malah, dia juga akan menggunakan kesempatan tersebut untuk mendalami lebih banyak ilmu berkaitan muzik.
“Soal karier, mungkin saya akan berehat buat sementara waktu. Tapi saya masih akan menghasilkan pelbagai konten-konten muzik ketika di sana.
“Mungkin di sana saya akan banyak belajar benda baru. Sebab itu saya nak sangat sambung belajar di sana supaya saya boleh kenal dengan orang-orang baru terutamanya dalam bidang muzik,” akhirinya.