“Kalau Ada Tanda Soal & Gambar Dikaburkan, Kami Boleh Terima Lagi,” – Aeril & Wawa Hantar ‘Letter Of Demand’ Kepada Blogger

Share

Tiada angin, tiada ribut, timbul pula spekulasi membabitkan pasangan selebriti, Wawa Zainal dan Aeril Zafrel selepas syarikat mereka didakwa memotong gaji pekerja gara-gara tidak mencapai sasaran yang ditetapkan.

Menurut Wawa, syarikatnya itu tidak pernah berbuat sedemikian malah, dia juga tetap memberikan gaji kepada para pekerja sewaktu negara dilanda pandemik.

“Isu yang dikaitkan dengan kami itu tidak betul. Kami tidak pernah memotong gaji pekerja. Malah, ketika fasa Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP) pun, kami masih berikan bonus.

“Pada tahun lepas pula, staf saya sangat meriah dengan bonus. Hari raya dan hujung tahun dapat bonus. Mereka juga dapat bercuti ke luar negara, berjalan-jalan dan membeli belah,” katanya kepda MH.

Wawa berkata sedemikian ketika ditemui media pada majlis Malam Aprisiasi Wawa Cometic 2023 yang berlangsung di Tenera Hotel, Bangi pada Sabtu.

Jelas Wawa lagi, dia dan suami amat kecewa kerana dakwaan tersebut mula tersebar disebabkan satu artikel yang diterbitkan sebuah portal blogger.

“Sebenarnya, tiada siapa pun yang menuduh saya atau Aeril tetapi pihak blogger tersebut yang membuat spekulasi sendiri. Merekalah sebenarnya yang mencetuskan fitnah tersebut.

“Saya rasa ini fitnah yang paling teruk pernah kami terima. Kalau pihak portal tersebut meletakkan tanda soal pada kenyataannya itu dan gambar kami dikaburkan, mungkin kami boleh terima lagi.

“Ini setepek gambar kami di situ dan tiada tanda soal pada kenyataan tersebut. Seolah-olah pihak tersebut mengiyakan dakwaan syarikat kamilah yang dimaksudkan kerana tidak membayar gaji pekerja.

Lantaran itu, Wawa memaklumkan dia dan suami terpaksa membawa perkara tersebut ke muka pengadilan demi menjaga nama baik syarikatnya.

“Setahu saya, pihak laman portal tersebut telah menerima surat ‘letter of demand’ (LOD). Yang menguruskan segala hal ini adalah Aeril sebab dia rasa geram sangat. Saya ni hanya menenangkan dia sahaja.

“Aeril memang nak ambil tindakan kerana perbuatan tersebut telah mencalarkan nama baik kami. Sebagai usahawan, kami tak boleh biarkan kalau imej kami dicalar. Aeril anggap perkara ini sangat serius,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, ibu kepada empat orang cahaya mata ini turut memberitahu, dia tidak mahu hal seperti ini menjejaskan hubungannya bersama pihak media yang lain.

“Kepada pihak media terutamanya blogger yang saya kasihi, anda juga banyak menyokong kami. Jadi, kami tidak mahu perkara seperti ini merosakkan hubungan kita. Saya pun tak mahu perkara ini terjadi.

“Kepada blogger berkenaan, saya minta maaf kalau anda terasa dengan tindakan kami. Namun, kami tetap kena buat untuk memberi pengajaran bukan kepada dia sahaja tetapi juga kepada orang lain yang suka buat spekulasi sendiri,” akhirinya.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

Published by
Aizam Manaf