“Kalau Ada Yang Ejek, Pasti Ada Akan Back-Up,” – Dina & Cik B Tak Mahu Wanita Saiz ‘XL’ Rendah Diri

Share

Dua selebriti bersaiz ‘comel’, penyanyi Dina Nadzir dan Cik B memuji usaha jenama pengeluar pakaian wanita gempal atau ‘plus size’, Mis Claire dalam menyerlahkan keyakinan golongan seperti mereka.

Dina dan Cik B menyifatkan jenama yang sudah 11 tahun di pasaran itu terus sinonim khusus bagi memperkasakan keyakinan dan keberadaan golongan wanita bersaiz seperti mereka.

Dina dan Cik B ditemui di majlis pertunjukan koleksi jenama itu menerusi tema Ikatan Raya di Bayswater, KLCC, pada 11 Mac lalu.

Dalam pada itu, Dina yang juga bekas peserta program realiti, Malaysian Idol diam tak diam sudah lima tahun setia dengan jenama berkenaan.

“Saya antara penggemar setia label ini. Ia bersifat ‘adventures, nampak mahal dan bertepatan dengan keinginan saya berfesyen. Nak beli jeans rugged yang koyak pun ada. Malah ia menawarkan pilihan warna berbeza.

“Ia sekali gus mencabar diri saya untuk melawan arus, berekperimentasi dari segi warna dan bentuk. Selalunya orang saiz badan macam saya ini terhad dengan pilihan atau bentuk tertentu semata-mata.

Tapi tidak dengan jenama ini,” katanya.

Dina atau nama penuhnya Faradina Mohd Nadzir percaya dan optimis apa jua bentuk jenis badan sekalipun bukan alasan untuk mengalah.

“Wanita bersaiz badan macam kami ini sudah ada keyakinan diri. Kita hidup di zaman sekarang, ia bukan lagi taboo atau masalah. Kalau ada orang ejek fasal saiz kita, pasti ada yang akan back-up dan hentam  mereka yang mengejek itu.

“Jadi diri sendiri kerana setiap dari kita ada kecantikan tersendiri. Tak kira apa jua badan saiz, kita ada kelebihan dan kekurangan. Saya hingga saat ini selesa apa adanya dengan diri ini.

“Saya masih berdiet tapi sekadar suka-suka dan meletakkan garis keselesaan diri. Tapi kalau ada di antara kita, yang rasa nak menyerah dengan berdiet atau mahu kurus, jangan bimbang.

“Tiada tekanan, kita hanya hidup sekali. Yang penting diri ini kita hargai,” katanya lagi.

Cik B atau nama sebenarnya, Nur Edlynn Zamileen Muhammad Amin pula mengakui jenama itu memberi solusi mudah kepadanya yang selama ini sukar mencari pakaian.

“Jenama ini memang diketahui umum terkenal kepada golongan yang bersaiz comel macam saya. Tanyalah sesiapa yang berbadan macam saya, tentu jenama ini yang terlintas,” katanya.

Penyanyi yang baru muncul dengan single Doakan itu juga berpesan supaya golongan sepertinya jangan terus rasa ‘insecure’.

“Jadilah diri sendiri. Kita comel, kena bangga dan yakin. Keyakinan diri itulah kecantikan dan ‘alat solek’ utama. Kalau tak yakin, jadilah bagaimanapun takkan nampak kecantikan dan keyakinan itu,” katanya.

Sementara itu, saban tahun, jenama pengeluar pakaian dan busana wanita gempal ‘plus size’ popular di pasaran, Mis Claire tak ketinggalan terus menyajikan koleksi raya.

Terdapat sembilan koleksi raya kali ini yang dijual iaitu Petra, Minimal Embroidery, Easy Raya,  Raya4All, Romance, Urban Cotton, Dainty Collection, Sahara Night dan Ikatan Raya.

Menurut pengasas jenama itu, Niko atau nama penuhnya, Niko Tan Bee Ai, secara keseluruhannya daripada sembilan koleksi dipersembahkan merangkumi lebih daripada 30 pilihan baju raya.

“Rekaan pakaian yang ditawarkan oleh Mis Claire terdiri dari potongan klasik dan juga moden,  memenuhi pelbagai tema sambutan raya di kalangan rakyat Malaysia dari tema Glam ke Santai. Ia termasuklah dari rekaan yang elegan hingga yang bergaya.

“Setiap pakaian diperuntukkan adalah untuk memenuhi keperluan pelanggan kami yang ingin tampil cantik dan anggun pada sambutan raya. Tapi

yang membuatkan rekaan raya ini   unik kerana ia boleh dipakai selepas musim perayaan.

“Ia sekaligus menjadikannya satu pelaburan yang berbaloi. Kami juga ingin pelanggan yakin dengan pembelian mereka  bahawa baju raya boleh dipakai bila-bila masa tanpa terhad mengikut sambutan semata-mata,” katanya.

Menyentuh mengenai tema diketengahkan, ia diilhamkan oleh pelbagai gaya fesyen yang dilihat semasa aktiviti ziarah musim raya di Malaysia.

Koleksi raya kali ini dilancarkan secara berperingkat sejak 10 Mac lalu.

“Mis Claire meletakkan komitmen tinggi bagi memastikan wanita plus size tampil bergaya semasa sambutan Hari Raya.

“Oleh itu, saiz yang ditawarkan adalah dari XL hingga 7XL untuk memenuhi pelbagai jenis bentuk badan.

“Harga koleksi ini bermula dari harga mampu milik dan tidak ketinggalan, turut menawarkan nilai yang baik untuk bahan berkualiti tinggi dan kemahiran penjahit pakar,” katanya.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini

Published by
MH