Pengurus Allahyarham Siti Sarah Raissuddin, Nana Mohamad Rom dari Indigital Music mendedahkan penyanyi berkenaan sebagai seorang yang sangat suka bersedekah selain membantu mereka yang memerlukan.
Menurut Nana, Allahyarham juga sentiasa berusaha membantu golongan sasar dalam diam dan tidak mahu perkara tersebut dihebahkan.
Malah isteri kepada pelawak Shuib yang itu sebelum ini pernah membantu rakan-rakan dalam industri dan media dalam meringankan beban mereka.
“Dia paling suka menderma, selalu menderma sana-sini. Kalau ada orang mesej di Instagram perlukan bantuan dia cuba bantu. Tapi Sarah tak suka orang tahu dan tak mahu bercerita… tapi kita pihak pengurusan tahu mengenai perkara itu.
“Yang terbaru, sebelum dia menaiki ambulans untuk ke hospital (HUKM Kuala Lumpur), dia pindahkan wang pada satu akaun miliknya kepada ibu tirinya dan minta ia disedekahkan.
“Sebelum ditidurkan, dia ada minta pembantunya ambil produk tudung keluaran untuk disumbangkan kepada jururawat,” ujarnya.
Nana ditemui selepas pengebumian jenazah Allahyarham di Tanah Perkuburan Islam Sungai Pusu, Gombak, Selangor pada Isnin.
Bercakap mengenai tahap kesihatan Siti Sarah sebelum pemergiannya, Nana berkata penyanyi itu tidak pernah memiliki sebarang sejarah penyakit kronik.
“Dia tak ada sebarang penyakit… dia sangat menjaga pemakanan, semasa kuarantin dia selalu dapatkan rujukan doktor peribadi.
“Sepanjang tempoh kuarantin di rumah, memang saya telefon setiap hari… dia kata keadaan dia okay sahaja dan minta saya jangan risau.
“Tapi pada hari kelapan dia beritahu kena pergi hospital sebab oksigen menurun, ketika itu dia mula ada simptom batuk-batuk… dia fikir itu gejala biasa sebab hanya tinggal dua hari untuk potong gelang,” ujarnya lagi.
Terdahulu,,Siti Sarah, 37, menghembuskan nafas terakhir pada pukul 5.13 pagi Isnin di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Cheras selepas ditidurkan pada 4 Ogos lalu.
Allahyarham menjalani pembedahan mengeluarkan bayi lelaki ketika kandungan berusia lapan bulan pada 6 Ogos lalu selepas beberapa jam ditidurkan.
Sarah dan Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhamad, berkahwin pada 2011.
Selain Ayash Affan yang kini masih dipantau di PPUKM, mereka turut memiliki tiga lagi cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, dan Ariq Matin yang berusia 6 tahun.
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI