Rapper dan anggota kumpulan K-Clique, MK meluah rasa kesal terhadap tindakan segelintir pihak yang gemar melontarkan komen melampau sehingga menjatuhkan motivasi orang lain.
Menurutnya, dia tidak kisah sekiranya ada pihak yang ingin memberikan teguran tetapi hendaklah menggunakan cara yang betul dan berhemah.
Meski tidak dinyatakan dengan jelas mengenai isu yang sedang diperkatakan, namun, ramai yang menganggap teguran MK ini berpunca daripada komen melampau orang ramai terhadap muzik video terbaru Nabila Razali yang dilabelkan sebagai ‘penjahanam’ industri muzik tanah air meskipun telah meraih lebih 5 juta tontonan di laman Youtube.
“Assalamualaikum, selamat pagi. Hari ini aku bangun dengan perasaan yang kecewa dan kesal dengan sesetengah perangai manusia yang suka melontarkan komen yang lansung tidak memikirkan perasaan orang lain.
“Kalau tiada benda baik nak cakap, diam. Kalau ada teguran, hadap terus ke tuan badan. Kalau ada pendapat, lontarkan.
“Bergurau? Biar bertempat. Kita semua manusia, semua ada perasaan.
“Kalau aku yang kena mungkin okay, memang okay tapi tolonglah fikir orang lain,” tulisnya.
Kenyataan tersebut dikongsikan oleh oleh MK menerusi akaun Instagram miliknya.
Melihat di ruangan komen, rata-rata netizen memberikan kata-kata semangat buat MK selain turut menasihatinya supaya tidak mempedulikan komen-komen negatif tersebut.
Terdahulu, Nabila baru sahaja melancarkan versi terbaru lagu Peluang Kedua yang menampil MK sebagai rakan duo dan juga hero bagi muzik video berkenaan.
Muzik video berkenaan nyata menerima sambutan luar biasa selepas berjaya meraih lebih 5 juta tontonan kurang seminggu ia dimuat naik.
Sumber: Instagram MK K-Clique