“Kalau Andmesh, Virgoun & Tulus Ni Orang Malaysia, Mereka Boleh Survived Ke?” – Ippo Hafiz Ulas Fasal Penyanyi Badan Besar

Share

Penyanyi dan penulis lagu, Ippo Hafiz menyifatkan penerimaan terhadap penyanyi berbadan besar di Malaysia sememangnya agak berbeza jika ingin dibandingkan dengan negara jiran, Indonesia.

Bagaimanapun, Ippo atau nama sebenarnya Muhammad Hafiz Yaziz tidak menyangkal saiz pasaran muzik di sesebuah negara turut memainkan peranan penting.

“Kita ambil contoh di Indonesia, banyak sahaja penyanyi bertubuh besar seperti Andmesh Kamaleng, Virgoun dan Tulus. Masing-masing punyai kelebihan yang tersendiri.

“Mereka lebih mengutamakan muzik yang mereka bawakan. Dari situ, mereka dapat menjadi inspirasi dalam menghasilkan ciptaan-ciptaan mereka untuk disebarkan kepada semua.

“Kita tidak menafikan pendengar di Indonesia ini terlampau banyak kerana mereka punyai rakyat yang beratus juta. Cukup satu peratus sahaja yang minat lagu mereka, mereka boleh bertahan,” katanya.

Pandangan tersebut dikongsikan sendiri oleh penyanyi lagu Kekal Bahagia itu menerusi sebuah video yang dimut naik di saluran Youtube, ML Studios.

Dalam pada itu, Ippo turut berharap agar peminat di Malaysia dapatkan mengutamakan kualiti sesebuah karya terlebih dahulu berbanding fizikal seorang penyanyi.

“Jadi, di Malaysia ini, kita kena membangunkan industri dengan mengutamakan karya yang diciptakan. Dengan karya tersebut, kita dapat memartabatkan muzik dengan lebih luas.

“Malah, anak-anak muda juga akan lebih berani untuk menghasilkan karya-karya yang baik. Nanti tiadalah mereka berfikir ‘Aku tak handsome dan badan besar. Macam mana nak buat lagu?’.

“Semangat seperti ini yang harus kita berikan kepada penyanyi-penyanyi ini. Nanti, bila nama mereka sudah makin dikenali, hal fizikal ini boleh diubah.

“Mereka boleh amalkan gaya hidup sihat sebab peminat akan sentiasa menyokong mereka. Sebagai peminat, anda boleh menginspirasikan mereka untuk berubah,” ulasnya lagi.

Dalam pada itu, Ippo turut merasakan penyanyi terkenal Indonesia seperti Andmesh dan Virgoun turut akan berhadapan situasi yang sama sepertinya sekiranya mereka berkarya di Malaysia.

“Ada yang tanya, andai kata Andmesh dan Virgoun ini orang Malaysia, boleh ke mereka pergi sejauh sekarang? Jawapannya, anda kena tengok Ippo Hafiz. Apa yang Ippo Hafiz lalui, itulah yang bakal mereka juga lalui.

“Tak kisahlah Andmesh, Virgoun atau sesiapa sahaja artis berbadan besar popular di Indonesia, kalau mereka duduk di Malaysia, mereka kena buat banyak lagu untuk diri sendiri dan artis lain,” ujarnya lagi.

Bagaimanapun, bapa kepada dua orang cahaya mata ini tetap percaya yang rezeki itu terletak di tangan Allah SWT.

“Setiap pengkarya harus menjaga penampilan harus faham dengan fahaman seni di Malaysia. Jadi, kalau kita nak berkarya di sini, kita kena ikutkan juga

“Jika sekarang, saya lebih tertumpu ke bidang belakang tabir. Namun, jika saya nak ke hadapan semula, saya kene ikutlah kehendak industri semasa.

“Susah untuk saya bercakap mengenai isu ini kerana rezeki itu ditetapkan oleh Allah SWT. Semuanya Dia yang bagi. Segalanya akan berbalik kepada agama,” akhirinya.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

Sumber & Kredit Foto: Youtube ML Studios & Instagram Ippo Hafiz

Published by
Aizam Manaf