Hiburan

“Kalau Artis, Sanggup…,” – Pendakwah Letak Bayaran Tinggi Sebab Popular? Baca Respon Ustazah Asni Mansor

Share

Susulan dakwaan yang mengatakan pendakwah masa kini mengenakan bayaran tinggi untuk memenuhi undangan majlis ilmu disebabkan faktor populariti, pendakwah bebas, Ustazah Asni Mansor tampil memberikan pandangannya.

Menurut Ustazah Asni, dia kurang arif dengan bayaran yang dikenakan oleh pendakwah lain namun dia percaya perkara seperti ini boleh dibawa berbincang.

“Bercakap soal bayaran, janganlah sampai kita tak menghargai orang itu (pendakwah). Kalau kita kata ikut suka, nanti bagi RM100. Duit minyak pun tak lepas.

“Biarlah berbaloi bila kita menghargai seseorang. Namun, jangan pula kita minta sehingga melampaui batas.

“Pada saya, bila buat kerja agama ini, minta pun salah, tak minta pun salah. Kalau tak minta, itulah antara cara mereka untuk memenuhi keperluan,” katanya kepada MH.

Dalam pada itu, Ustazah Asni turut berharap agar orang ramai dapat membuka minda dan lebih menghargai mereka yang melakukan usaha dakwah ini.

“Kalau berbincang, biarlah berpada-pada. Pada masa sama, jangan buat pendakwah ini seperti tiada harga langsung.

“Takkan dengan kerja dakwah pun nak berkira. Kalau artis, sanggup kita bayar ribuan ringgit untuk menyanyikan satu lagu.

“Setahu saya, saya tak pernah dengar pendakwah minta bayaran puluhan ribu ringgit. Kalau ada, itu di luar pengetahuan saya,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, juri tetap program Pentas Marhaban ini menyifatkan nilai ilmu seseorang itu lebih berharga berbanding wang ringgit.

“Kalau ikutkan, kita tak boleh nak nilaikan ilmu. Ia tidak ternilai walaupun bayar puluhan ribu ringgit. Soal nilai ilmu dan kerja dakwah ini, biar Allah sahaja yang bayar di akhirat.

“Apa yang dibayar itu hanyalah satu penghargaan, penat lelah dan tanda kita tak memandang rendah pekerjaan dakwah. Kita kena bertolak ansur.

“Kalau kita menilai kerja dakwah Rasulullah, memang tak ternilai. Nabi sampai ditawarkan emas setinggi Gunung Uhud untuk bayaran berdakwah tetapi baginda menolak,” akhirinya.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

Published by
Aizam Manaf