Hiburan

“Kalau Bagi Bunga Tapi Perangai Masih Sama, Tak Guna Juga,” – Yusof Haslam

Share

Berjaya melayari bahtera perkahwinan lebih empat dekad, pelakon dan pengarah terkenal, Datuk Yusof Haslam mendedahkan antara rahsia rumah tangganya mampu bertahan adalah disebabkan sikapnya yang suka memujuk.

Menurut Yusof, krisis di dalam rumah tangga merupakan perkara biasa namun, ia tidak seharusnya dibiarkan berpanjangan.

“Pada saya, alam berumah tangga ini memerlukan kesabaran, tolak ansur dan pujuk memujuk. Sebagai lelaki, kita jangan anggap memujuk itu petanda kalah.

“Saya tidaklah sempurna tetapi rumah tangga saya mampu bertahan kerana sifat saya yang suka memujuk dan mahu mempertahankan perkahwinan.

“Kalau asyik berkahwin dan bercerai, ia seperti tiada kesudahan. Ini adalah petua yang telah diamalkan oleh ibu bapa saya. Arwah bapa saya seorang kaki pujuk.

“Tiada hubungan yang sentiasa tenang. Ada masa kita bertekak dan merajuk. Namun, suami isteri harus memainkan peranan dan bertolak ansur. Apapun, usaha harus dimulakan oleh suami,” katanya kepada MH.

Bapa kepada pengarah sensasi, Syamsul Yusof itu berkata sedemikian ketika ditemui di majlis tayangan perdana filem Don Dukun yang berlangsung di GSC, Midvalley, Kuala Lumpur pada Selasa.

Katanya lagi, para suami harus bijak memujuk dan mengambil hati isteri dan bukan hanya mengharapkan pemberian materialistik semata-mata.

“Cara saya memujuk adalah dengan kata-kata manis dan bukan dengan bunga. Pada saya, itu simbolik sahaja. Saya pun tak reti nak bagi bunga atau hadiah melainkan pada hari jadi.

“Pada saya, kata-kata dan perbuatan itu jauh lebih bermakna. Kalau bagi bunga tapi masalah sama masih berlaku, tak guna juga.

“Saya bercakap ini bukanlah bermakna saya sempurna atau kena jadikan contoh tapi ini nasihat saya sebagai orang tua yang sudah 41 tahun melalui proses perkahwinan,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Yusof akui bimbang bila
melihat peningkatan kes penceraian sejak akhir-akhir ini lebih-lebih lagi melibatkan pasangan selebriti.

“Ketika ini, saya tengok banyak kes penceraian yang berlaku. Kelmarin, saya terbaca kisah mengenai Diana Danielle dan Farid Kamil. Saya pun terperanjat juga.

“Sebelum ini, bila dia kembali rujuk dengan suami, saya dan isteri tumpang gembira. Itulah yang sebaiknya. Kata isteri saya, Farid pandai memujuk. Sama seperti saya.

“Jadi, saya agak sedih juga bila dapat tahu mereka mahu bercerau. Namun, kita tak tahu apa yang mereka lalui dalam berumah tangga. Kita hanya melihat secara rambang. Allah lebih tahu,” akhirinya.

Terdahulu, Yusof merupakan antara pelakon yang membintangi filem seram komedi terbaharu, Don Dukun.

Selain Yusof, filem arahan Wan Hafiz ini turut menampilkan barisan pelakon seperti Zul Ariffin, Ropie Cecupak, Douglas Lim, Sangeeta Krishnasamy dan Marsha Milan.

Don Dukun bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 31 Oktober ini.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan di sini.

Published by
Aizam Manaf