Pelakon, Diana Danielle memuji tindakan pantas pihak berkuasa yang telah menahan seorang pemandu bas sekolah susulan merakam video kanak-kanak dalam kenderaan tersebut hingga tular di media sosial.
Menurut Diana, tindakkan pemandu bas yang menjadikan kanak-kanak sebagai objek serta menggelarkan mereka sebagai ‘crush’ sememangnya menjijikkan walaupun berniat sekadar gurauan.
“Sebagai ibu, saya berpuas hati dengan tindakan polis kali ini tentang isu pemandu bas yang sibuk merakam video pelajar yang dia suka sangat tu.
“Walaupun dia kata itu sebenarnya anak buah dia, kita juga boleh nampak sejak akhir-akhir ini, keluarga rapat pun tak boleh dipercayai. Banyak kes haruan makan anak.
“Apa Abang Bas itu ingat sebab itu anak buah dia, dia boleh ‘sexually objectify’ dan anggap ia hanya sekadar konten? Sungguh malang apabila anda tidak mempunyai idea untuk menghasilkan konten yang bagus.
“Lalu anda fikir konten menjadikan kanak-kanak sebagai objek ini adalah yang terbaik,” tulisnya.
Luahan itu dikongsikan sendiri oleh ibu kepada dua orang cahaya mata itu menerusi sebuah hantaran di Instagram.
Katanya lagi, dalam hal seperti ini, para ibu bapa seharusnya memainkan peranan yang sangat penting lebih-lebih lagi untuk melindungi anak-anak daripada orang-orang tidak bertanggungjawab
“Rupa-rupanya, dalam satu sesi siaran langsung, pemandu bas tersebut ada mempertahankan dirinya dengan berkata, ibu bapa kepada anak-anak tersebut tahu anak mereka dijadikan konten dan mereka tenang sahaja.
“Kalau betul pun ibu bapa ini tidak kisah, kita masih ada undang-undang. Ia dibuat untuk melindungi anak-anak walau daripada ibu bapa sendiri yang tidak peka, tidak faham atau memang tak kisah,” ujarnya lagi.
Pada masa sama, isteri kepada pelakon Farid Kamil ini berharap agar pemandu tersebut dikenakan hukuman berat dan tidak dibenarkan untuk mendekati kanak-kanak lagi selepas ini.
“Anda memilih untuk membuat konten yang memaparkan diri anda cenderung sebagai pemangsa terhadap anak-anak.
“Tiada siapa pun yang akan memberikan kebenaran untuk anda berbuat sedemikian terutama ibu bapa mereka sendiri.
“Saya bersyukur negara kita punyai undang-undang yang melindungi anak-anak daripada orang-orang yang suka mengeksploitasi sebegini.
“Dia sepatutnya tidak dibenarkan lagi untuk bekerja berhampiran anak-anak lagi selepas ini,” katanya lagi.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Kluang, Johor, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, kebenaran reman ke atas suspek berusia 24 tahun itu diperoleh pada Jumaat.
Lelaki terbabit ditahan sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang pada jam 2.57 pagi bagi menjalankan siasatan berhubung penularan rakaman video memaparkan kanak-kanak dalam sebuah bas.
Ketua Polis Johor, Komisioner M. Kumar berkata, siasatan terperinci sedang dijalankan dan polis mengalu-alukan kerjasama daripada ibu bapa kanak-kanak yang terdapat dalam rakaman video itu supaya tampil bagi membantu siasatan.
Sebelum itu, tular beberapa video yang memaparkan seorang pemandu bas yang mempunyai lebih 600,000 pengikut di TikTok, merakam beberapa murid sekolah perempuan yang dianggap pemandu bas tersebut sebagai ‘crush’ atau seseorang yang diminati atau disukai secara romantik.
Kesemua video yang dirakam sambil memandu itu memaparkan wajah murid-murid tersebut dengan jelas.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan di sini.