Pelakon, Muaz Zabir memilih pendekatan mengunci mulut dan enggan mendedahkan gerangan disebalik foto tangan dan kuku wanita yang dikongsikan di Instagram Stories, baru-baru ini.
Meski ramai yang menganggap foto wanita di dalam kereta itu adalah penyanyi dan pelakon, Bella Astillah, Muaz memaklumkan para netizen berhak membuat andaian sendiri.
“Soal kuku itu biarlah rahsia. Saya tak boleh nak bagitahu lagi buat masa ini. Orang luar boleh membuat andaian sendiri dan saya tidak boleh menghalang.
“Kita biarkan sahaja dahulu buat masa sekarang. Hal ini melibatkan kontrak jadi, saya masih belum boleh dedahkan.
“Saya tak jangka pun posting tersebut bakal mendapat perhatian ramai. Mungkin juga disebabkan saya pernah dikaitkan dengan isu bersama Bella sebelum ini.
“Kalau betul itu Bella sekali pun, dia bukan isteri orang lagi,” katanya kepada MH.
Pelakon drama Bawah Payung Awan berkata sedemikian saat ditemui di acara karpet merah Tik Tok Awards 2024 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur pada Ahad.
Ditanya sama ada dia kini lebih selesa dikaitkan dengan Bella selepas bercerai, ini reaksi Muaz;
“Bukanlah lebih selesa tapi sebelum ini isu melibatkan Bella masih panas. Namun, kini semua orang sudah tahu status Bella.
“Ya benar, kita kena sentiasa bersifat terbuka dengan apa sahaja yang diperkatakan netizen. Alhamdulillah, saya tidak berdepan banyak kecaman pun. Malah, ramai yang mendoakan yang terbaik.
“Tentang hubungan istimewa, saya tidak mengiyakan dan menidakkan,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, Muaz mendedahkan dirinya tidak kisah apabila sering kali dikaitkan dengan Bella meskipun kontroversi diantara mereka sudah lama berakhir.
“Saya okay sahaja dengan apa yang berlaku. Industri kita ini kecil. Kita akan kerap berjumpa dan kerja bersama-sama.
“Kalau boleh, saya tidak mahu bermusuh dengan sesiapa,” katanya lagi
Sebelum ini, nama Bella dan Muaz menjadi perhatian ramai selepas tersebar beberapa foto mesra sewaktu Bella masih lagi berstatus isteri kepada penyanyi dan pelakon Singapura, Aliff Azizi.
Bagaimanapan, Bella yang tidak menafikan perkara tersebut bagaimanapun menjelaskan hubungan mereka sekadar ingin membuat bekas suaminya itu cemburu.
Untuk rekod, Bella dan Aliff bercerai talak satu pada 13 Jun lalu di Mahkamah Rendah Wilayah Persekutuan.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.