Menjalin hubungan serius sejak hujung tahun 2021, pelakon Nafiez Zaidi mengakui dia sudah pun merisik kekasih hati, Fify Azmi pada 4 Jun lalu.
Majlis merisik di antara kedua belah keluarga itu dilangsungkan secara sederhana di kediaman keluarga Fify di Subang Jaya, Selangor.
Nafiez atau nama sebenarnya, Abdul Nafis Abduzaidi berkata, dia tidak mahu membuang masa bercinta, sebaliknya merancang untuk menyunting rakan artisnya itu sebagai suri hati menjelang hujung tahun ini.
“Kalau boleh saya dan Fify enggan bertunang, nak nikah terus. Jadi majlis merisik ini sebagai ‘mukadimah’ untuk fasa seterusnya. Semoga segala-galanya dipermudahkan.
“Lagipun kami masing-masing akan sibuk dengan kerja seni, jadi itulah yang pilih tarikh semalam bawa keluarga kenal mesra.
“Kalau sudah bawa keluar berjumpa ini, ia juga isyarat saya tak mahu main-main dalam hubungan ini. Saya serius mahu memperisterikannya,” katanya.
Menerusi majlis berkenaan, Nafiez menyerahkan gelang tangan dan rantai yang diserahkan dalam kotak hitam sebagai simbolik ikatan.
“Cuma selepas ini, bila masing-masing sudah sibuk berlakon, kami sepakat tak mahu ‘show off’ keterlaluan sangat mengenai hubungan ini.
“Menjelang hari bahagia, harap segala-gala yang dirancang menjadi. Apa saja kemungkinan boleh terjadi, namun saya dan Fify tawakal dan akan cuba sehabis baik menjaga ikatan hubungan ini,” katanya lagi.
Nafiez turut memuat naik beberapa foto menerusi Insta Stories.
Imbas kembali, pasangan selebriti ini mulai rapat sejak penggambaran filem Ada Hantu 2, Disember tahun lalu.
Dalam perkembangan lain, Nafiez bakal menjalani penggambaran filem aksi, Bakara arahan Adrian Teh yang turut dibintangi Hairul Azreen dan Iedil Putra.
Bakal mendukug watak sebagai Lans Koperal Nik Zainal, filem tersebut juga dijangka akan menjalani penggambaran di Turki, Istanbul.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.