Categories: Berita

“Kalau Boleh Nak Anak Sampai 12 Orang, Serius!,” – Datuk Seri Aliff Syukri

Share

Usahawan yang kini bergelar selebriti, Datuk Seri Aliff Syukri menyifatkan majlis aqiqah puteri bongsunya, Raudhah Arshiyah pada Sabtu menjadi antara kenangan paling manis buatnya sekeluarga.

Seawal 8.00 malam, majlis dirai penuh meriah dengan kehadiran rakan niaga, selebriti dan media di kediaman mewahnya, Aliff Syukri Palace di Kota Damansara pada Sabtu.

“Ini kali kelima kami sekeluarga anjurkan majlis kesyukuran dan tahlil untuk anak-anak. Gembira, dapat aura anak yang cantik dan comel. Setiap anak itu ada keistimewaan masing-masing.

“Mereka adalah pembawa rezeki. Jadi untuk majlis kali ini apa yang termampu saya buatlah. Terima kasih buat yang hadir, dan majlis dipermudahkan sampai selesai, alhamdulillah,” katanya kepada MH.

Ditanya mengenai penantiannya untuk memiliki seorang lagi anak perempuan dimakbulkan selepas kira-kira 10 tahun, penyanyi Bobo Di Mana ini merakamkan rasa terharu dan syukuf atas rezeki zuriat yang dikurniakan.

“Syukur sebab doa dimakbulkan. Cuma biasalah, kalau kita sudah ada anak lelaki lebih, nak ada anak perempuan pula dan begitulah sebaliknya. Sebelum ini, satu-satunya anak perempuan saya, Qadejah El Zahra, nampak dia ni macam ‘diva’.

“Dia rasa dia seorang je perempuan dan semua orang sayang dia. Sekarang ni kami sudah ada dua orang ‘puteri’. Siapa tahu selepas ini saya dapat menantu pula, insyaAllah.

“Pejam celik anak-anak selepas ini dah besar. Jadi bila anak ramai ni, saya rasa macam hidup kian berseri. Memang banyak dugaan untuk besarkan anak-anak.

”Akan tetapi saya yakin hanya satu. Anak ini akan mengisi kekosongan dan hidup ibu bapa,” jelasnya lagi.

“Kalau boleh saya nak anak sampai 12 orang. Serius. Sebab bagi saya, ada orang itu kaya budi bahasa, ada yang kaya anak, harta, pendidikan dan sebagainya.

Mana satu yang kita nak? Kalau saya, saya nak semua,” terangnya jujur.

Dalam perkembangan lain, Aliff juga kini sedang mengikuti Pengajian Jarak Jauh dalam pengkhususan perniagaan di UiTM Shah Alam.

Aliff dan Shahida telah berkahwin pada Ogos 2007 dan sebelum kehadiran puteri bongsu mereka, pasangan ini telah dikurniakan empat orang cahaya mata iaitu Ammaar Ahyan, Qadejah El Zahra, Ibraheem Adham dan Yusoff Al Qardawi serta seorang anak angkat.

Foto: Instagram Aliff Syukri

Published by
Rafiq Mazlan