Kerap dihimpit kontroversi sehingga dilabel artis bermasalah, penyanyi dan pelakon, Ismail Izzani mendedahkan dia menerima sahaja segala tomahan yang dilemparkan netizen terhadap dirinya selama ini.
Menurut Ismail, dia merasakan tiada gunanya untuk berdebat kerana setiap orang mempunyai kepercayaan mereka sendiri.
“Saya tak boleh tipu, rasanya memang sakit. Nak buat macam mana? Sebagai penghibur, orang suka atau tidak, saya telan sahaja. Kita pun tak boleh nak buat apa.
“Nak melawan pun tak guna? Sampai ke mana sahaja boleh melawan. Kalau kita nak jelaskan pun, orang tak nak dengar. Kita senyum dan teruskan sahaja menghiburkan orang,” katanya kepada MH.
Penyanyi lagu Luar Biasa itu berkata sedemikian ketika ditemui di majlis sidang media Konsert Patah Hati 2.0 yang berlangsung di Z Botanica, One Utama, Petaling Jaya pada Rabu.
Pada masa sama, Ismail menegaskan dirinya kini mahu kembali memberikan fokus terhadap bidang muzik selepas menandatangani kontrak bersama syarikat rakaman baharu, Def Jam Asia.
Lantaran itu, Ismail berharap agar dia dapat membuka lembaran baharu selepas hampir dua tahun tidak menerbitkan karya muzik baharu.
“Nak kata kurangkan kontroversi pun tak boleh juga sebab perkara ini bukan saya yang minta. Kalau benda tu nak jadi, ia tetap akan jadi. Kita tak boleh nak lari lebih-lebih lagi kini segalanya di hujung jari.
“Ini kehidupan yang saya pilih. Takkan la saya asyik nak sedih atau tertekan. Tak nafikan memang ada kalanya saya ada bersedih tetapi saya selalu ingatkan diri untuk terus bangkit.
“Saya berharap dapat kurangkan kontroversi. Dengan apa yang telah saya lalui, saya masih lagi struggle. Saya tak mahu orang meletakkan ekspektasi dan saya tak mahu menjanjikan apa-apa.
Ditanya adakah dia menyesal melibatkan diri dalam dunia seni di usia muda, anak kepada penyanyi era 1980-an, Datin Suliza Salam ini sebaliknya bersyukur kerana industri ini banyak mengajarnya tentang kehidupan.
“Kalau saya diberikan peluang untuk undurkan masa, saya tidak akan mengubah apa-apa.
“Tanpa perkara-perkara ini walaupun kecil, saya tidak akan berada di mana saya sekarang. Saya akui, ada kalanya saua berasa tidak adil. Saya mulakan kerjaya dari umur 16 tahun.
“Orang nampak proses saya membesar daripada remaja ke dewasa. Namun, saya tak salahkan orang lain melainkan diri sendiri. Ini kehidupan yang saya pilih.
“Saya tinggalkan alam persekolahan, busking di Sogo dan ibu menyokong saya. Segala apa yang saya lakukan demi muzik adalah jujur. Saya tak nak hilang perkara itu walaupun dikecam,” akhirinya.
Terdahulu, Ismail bakal membut kemunculan di Konsert Patah Hati 2.0 bersama lima selebriti seperti Naim Daniel, Nadeera Zaini, Aisha Retno, Neeta dan Bunkface.
Konsert yang memasuki penganjuran kali kedua ini akan berlangsung pada 23 November ini di Zepp, Kuala Lumpur.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.
Kredit Foto: Instagram Ismail Izzani