“Kalau Dia Boleh Buat, Kenapa Tak Saya,” – Nadhir Nasar Jadi Idola, Afiq Hamidon Tak Tolak Jika Ada Peluang Kembang Bakat Ke Luar Negara

Share

Pejam celik, pejam celik, kini tinggal satu hari sahaja lagi sebelum kita mengetahui siapakah yang bakal bergelar juara Hero Remaja 2021.

Setelah lebih tujuh minggu berhempas pulas memberikan aksi yang terbaik, kini pentas finale bakal menjadi medan terakhir buat para finalis untuk membuktikan kemampuan sebenar mereka.

Menurut salah seorang finalisnya, Afiq Hamidon, dia merasakan perjalanan di Hero Remaja 2021 sememangnya sangat menyeronokkan meskipun terpaksa berdepan dengan pelbagai tekanan sepanjang keberadaannya di program tersebut.

“Perjalanan saya di Hero Remaja 2021 ini, bermula dengan sangat serius. Tekanan untuk sentiasa memberikan yang terbaik itu selalu ada. Kemudian, bila saya sudah membiasakan diri, saya mula merasai keseronokkannya.

“Kalau kita tak seronok untuk buat sesuatu yang kita suka, apa motifnya disitu? Sejak bermulanya episod separuh akhir, tekanannya semakin memuncak. Kesemua peserta mempertajamkan segala skill dan kebolehan mereka,” katanya kepada MH.

Ditanya mengenai persiapannya untuk melangkah ke peringkat finale, ini reaksi tenang yang diberikan oleh pelajar akademi penerbangan ini;

“Strategi yang akan saya guna pakai di pentas finale nanti adalah latihan yang berterusan. Saya nak memperluaskan lagi minda saya dari segi ilmu, skill dan pengetahuan asas.

“Para finalis yang lain, mereka punyai skill dan ilmu yang seimbang. Bagaimana saya nak menyerlah diantara mereka adalah untuk sentiasa bersedia dan kerap berlatih di rumah,” kongsinya lagi.

Afiq berkata sedemikian dalam satu temu ramahnya bersama MH baru-baru ini.

Anak muda berusia 20 tahun yang kini aktif menjadikan sukan boxing sebagai hobi pernah menetap di Amerika Syarikat selama empat tahun.

Sementara itu, Afiq turut memaklumkan dia memilih juara Hero Remaja 2020, Nadhir Nasar sebagai idola kerana marasakan kisah mereka seperti banyak persamaan.

“Jawapannya mungkin agak cliche, tapi saya rasa ada persamaan diantara saya dan Nadhir. Saya baca balik mengenai kisah-kisah dia sebelum ini. Seperti semua tahu Nadhir dilahirkan di US.

“Kisah kami ini boleh dikatakan agak sama. Saya pun dibesarkan di US. Saya tinggal di Wisconsin sejak umur 8 tahun sehingga 12 tahun. Sebelum itu pun saya pernah duduk di UK.

“Pengetahunan saya mengenai industri seni tempatan agak terbatas. Jadi bila saya tahu fasal Nadhir, saya rasakan kalau dia boleh menyinar, kenapa tidak saya,” ujarnya lagi.

Afiq yang mahu terlebih dahulu mencipta namanya dipersada industri seni tanah air, tidak menolak sekiranya dia diberikan peluang untuk mengembangkan lagi bakatnya ke peringkat antarabangsa satu hari nanti.

Sekadar informasi, pentas Finale Hero Remaja 2021 akan dipancarkan secara langsung pada 6 November ini, bermula jam 9 malam di saluran Astro Ria dan On Demand.

Teruskan mengundi top 12 finalis kegemaran anda bagi ketegori Hero Favourite di www.remaja.my/hero.

Undian kini dibuka dan hanya akan ditutup pada malam finale.

Published by
Aizam Manaf