“Kami pihak Melodi akan bersiaran seperti biasa dan mengikut kesesuaian dia.” Itu kata penerbit program hiburan, Melodi, Noradillah Abdullah selepas hosnya, Janna Nick mendedahkan dia mengalami gangguan bipolar (bipolar disoder), baru-baru ini.
Malah, produksi setakat ini tidak merancang untuk merehatkan pengacara program itu dan Melodi akan terus bersiaran seperti biasa.
“Selepas Janna muat naik video dia menangis, beberapa hari selepas itu dia ada minta cuti sehari pada minggu itu.
”Kemudian, pada minggu berikutnya (minggu lalu) dia datang seperti biasa. Dia hanya cakap dia pergi jumpa doktor.
“Kalau dia okay, kita akan teruskan. Tidaklah sampai nak rehatkan dia.
“Namun, jika dia perlukan rehat, dia akan maklumkan kepada kami. Buat masa sekarang kami tidak ada perancangan untuk rehatkan dia,” katanya menerusi laporan Harian Metro.
Katanya lagi, ketika bersiaran minggu lalu, Janna okay dan tidak memberi kesan kepada penerbitan program itu.
“Minggu lalu dia okay. Tak mengganggu apa-apa perjalanan program pun. Sama seperti biasa, dia seorang yang menepati masa, disiplin bagus dan sentiasa berikan komitmen yang baik.
Tidak nampak apa yang berubah dari segi itu,” jelasnya.
Terdahulu, Janna membuat pendedahan dirinya mengalami masalah gangguan bipolar secara klinikal dan mengakui pernah membuat cubaan untuk mengambil nyawa sendiri ketika berusia 14 dan 15 tahun.
Janna menerusi satu hantaran di Instagram berkata, dia turut bergantung pada ubat anti kemurungan sejak seminggu lalu.
Perkongsian tersebut nyata mencuri perhatian peminat dan rakan artis yang bersama-sama memberikan kata semangat buat pelakon Marry Me Senoria itu.
Sumber, Foto : Harian Metro, Instagram Janna Nick