Pengacara Awal Ashaari menyifatkan dirinya bertuah selepas mendapat sokongan penuh isteri yang juga selebriti popular, Scha Al Yahya apabila impiannya untuk membuka sebuah kedai kopi sendiri menjadi kenyataan.
Awal, 41, juga bersyukur kerana proses pembukaan cawangan pertama The Great Coffee Club di Menara U, Seksyen 13, Shah Alam berjalan lancar minggu lalu.
“Isteri sebelum ini dia akan rasa ragu-ragu sekiranya saya mahu melancarkan sesebuah projek atau produk baharu. Sebab kalau dia rasa saya terlalu berimpian, dia akan ‘tarik’ dan sedarkan saya.
“Namun bila saya nyatakan hasrat untuk buka kedai kopi, dia terus kata ‘ya’ dan bersetuju. Malah Scha cakap mengapa tidak untuk saya buat. Dia berikan galakan seratus peratus dan berada di belakang saya.
“Kalau sebelum ini, dia pasti akan selidik itu dan ini terlebih dulu. Misalnya saya buat kerja dengan siapa, boleh atau tidak saya lakukan dan sebagainya. Dia akan kritik, tapi situasinya kali ini berbeza.
“Jadi secara tak langsung saya terbuka dan selesa untuk meneruskan projek ini. Scha berikan semangat dan alhamdulilah semuanya dipermudahkan,” katanya kepada MH.
Malah bapa kepada dua cahaya mata itu menambah, kopi memiliki nilai sentimental susulan air kegemaran ramai itu turut menyatukan hubungannya dengan Scha.
“Kami berdua memang penggemar kopi. Kalau nak ‘throwback’ kisah cinta saya bersama Scha dulu pun, kami selalu ‘dating’ di sebuah kedai kopi di Bangsar.
“Jadi boleh dikatakan kopi menyatukan saya dan Scha kerana kami berdua berkongsi air minuman yang sama.
“Malah setiap kali kami melancong ke luar negara, perkara pertama yang kami akan kunjungi adalah kedai kopi kerana nak rasa kelainan di setiap lokasi.
“Jadi sekarang saya terharu kerana impian yang dah lama saya tunggu akhirnya menjadi kenyataan dan segala proses berjalan dengan pantas,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Awal menjelaskan dia memilih Shah Alam sebagai lokasi pertama kedai kopi miliknya kerana menepati target pasaran selain lokasinya yang strategik.
“Saya memilih Shah Alam kerana lokasinya yang dekat dengan beberapa buah universiti selain menepati target pasaran.
“Kalau kita lihat tidak banyak kafe atau kedai kopi yang seumpama dengan kedai saya. Jadi sebagai permulaan saya pilih Shah Alam.
“Malah kedai kopi ini juga boleh menjadi lokasi untuk pelajar universiti ‘healing’ atau bersantai. Sebab itulah rekaan kedai kopi ini sangat dekat dengan jiwa muda selain semua orang boleh datang nikmatinya,” katanya.
Sementara itu, dia kini sedang dalam perancangan untuk menjadikan kedai kopi itu sebagai lokasi program poscast kendaliannya, The Great Coffee Talk selepas sambutan Syawal nanti.
“Insha-Allah perancangannya raya. Saya nak buat podcast yang akan disiarkan di platform YouTube dan media sosial. Kita buat dalam kedai dan itu antara kelainan yang saya rasa okay.
“Mengikut perancangan, saya nak jemput individu yang dapat memberikan inspirasi setiap minggu untuk berkongsi kisah hidup dan kejayaan mereka,” katanya lagi.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini